Maritim Malaysia Tahan Bot Fiber Tiada Lesen Di Perairan Morib

LocalPolitics
5 Jun 2025 • 11:17 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Maritim Malaysia Tahan Bot Fiber Tiada Lesen Di Perairan Morib

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang menangkap ikan secara haram di perairan Morib semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, tangkapan dilakukan sekitar jam 12.15 tengah hari. Ujarnya, bot Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan 11 batu nautika barat daya Pantai Morib pada ketika itu.

“Vesel jenis bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan, hasil pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh warga tempatan terdiri daripada seorang tekong lelaki, berumur dalam lingkungan 39 tahun, bersama dua awak-awak yang masing-masing berusia 15 tahun (difahamkan ialah anak lelakinya) dan seorang lagi berusia 50 tahun,” jelas beliau.

Setelah pemeriksaan dilakukan, vesel berkenaan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti penangkapa ikan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Tiga individu itu diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bersama vesel milik mereka untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan negeri Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Abdul Muhaimin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (03-3176 0627) bagi tindakan segera.