
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM52,000 ke negara jiran pada Khamis malam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata penahanan bot kargo tanpa nombor pendaftaran itu dilakukan kira-kira jam 10.40 malam pada kedudukan 1.1 batu nautika dari Utara Tanjung Doris.
“Bot peronda kita mengesan pergerakan mencurigakan bot itu dalam rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kawasan sempadan perairan yang dipercayai dari negara jiran”, katanya di sini pada Sabtu.
Ariffin berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di bot kargo terbabit membawa kepada penemuan 18 tong LPG berlabel Petronas, 77 tong LPG berlabel MyGas dan 22 gelen kosong.
Berikutan penemuan barangan kawalan itu juga pasukannya bertindak menahan tiga warga asing melibatkan seorang tekong berumur 27 tahun dan dua pembantunya yang masing-masing berumur 29 dan 25 tahun.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak mempunyai permit kebenaran untuk membawa muatan barangan kawalan”, katanya.
Kesemua suspek, muatan dan bot kargo kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta lmigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Mengulas lanjut Maritim Zon Tawau akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengesan dalang sebenar di sebalik aktiviti penyeludupan terbabit dan akan terus mengambil langkah memperketatkan kawalan di jeti haram dan rondaan malam.
“Zon Maritim Tawau komited untuk memastikan perairan di sepanjang daerah ini terus bebas daripada aktiviti-aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang boleh mendatangkan kerugian terhadap negara”, katanya.
Pada masa sama orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 supaya tindakan segera dapat diambil.


