
KUALA LUMPUR: Marriott Bonvoy dan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) menjalin kerjasama strategik menerusi kempen ‘A Story That Matters: Uniting Hospitality and Conservation for a Better Future’ bagi menggabungkan sektor hospitaliti, pemuliharaan dan pendidikan dalam usaha melindungi spesies orang utan yang semakin terancam.
Kerjasama itu memanfaatkan rangkaian hospitaliti Marriott Bonvoy serta pengalaman lebih dua dekad BMOUIF dalam pemuliharaan orang utan bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara biodiversiti Malaysia, di samping menggalakkan pelancong menyokong usaha pemuliharaan.
Kempen itu mengetengahkan kisah Aggy, seekor anak orang utan Borneo yang kehilangan ibunya sejurus selepas dilahirkan sebelum berjaya diselamatkan hasil penjagaan intensif pasukan veterinar dan penjaga BMOUIF.
Selepas melalui proses pemulihan selama beberapa bulan, Aggy kini berjaya diperkenalkan semula ke Pulau Orang Utan dan diterima oleh seekor ibu angkat orang utan, sekali gus menjadi simbol kejayaan usaha pemuliharaan yang dijalankan yayasan berkenaan.
Melalui simbolik pengambilan angkat Aggy, Marriott Bonvoy berharap dapat menggalakkan tetamu serta ahlinya menyokong usaha berterusan BMOUIF dalam bidang pemuliharaan, rehabilitasi, penyelidikan dan pendidikan.
Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada platform kelestarian dan impak sosial Marriott International, Serve 360: Doing Good in Every Direction, yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan impak positif kepada komuniti dan alam sekitar di setiap destinasi operasinya.
Naib Presiden Pasaran Malaysia, Marriott International, George Varughese berkata, hospitaliti bukan sekadar mewujudkan hubungan sesama manusia, malah dengan destinasi yang menjadi sebahagian daripada pengalaman perjalanan.
“Kerjasama bersama BMOUIF mencerminkan komitmen Marriott Bonvoy untuk menjadikan pelancongan sebagai kuasa yang membawa kebaikan.
“Kami berharap inisiatif ini memberi inspirasi kepada tetamu dan ahli kami untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi Malaysia serta menunjukkan bahawa setiap tindakan kecil mampu menyumbang kepada usaha melindunginya untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama tersebut di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, hotel Marriott Bonvoy di seluruh Malaysia akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk kempen media sosial #AStoryThatMatters, penyediaan kod QR bagi memudahkan sumbangan terus kepada usaha pemuliharaan orang utan serta kadar kemasukan eksklusif ke Pulau Orang Utan untuk ahli Marriott Bonvoy.
Tetamu juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di hotel-hotel Marriott Bonvoy terpilih yang memberi pendedahan lebih dekat mengenai usaha pemuliharaan spesies berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi BMOUIF, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad berkata, kisah Aggy membuktikan setiap orang utan berhak diberikan peluang untuk terus hidup dan berkembang.
“Selama lebih dua dekad, BMOUIF kekal komited dalam usaha pemuliharaan, rehabilitasi dan perlindungan orang utan yang terancam.
“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan Marriott Bonvoy sebagai rakan strategik dan percaya kolaborasi ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk memahami kepentingan melindungi khazanah alam semula jadi negara,” ujarnya,
Beliau berkata, kerjasama itu akan membantu meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap biodiversiti Malaysia serta membuktikan usaha secara kolektif mampu memberi impak besar kepada masa depan spesies orang utan. – UTUSAN
The post Marriott Bonvoy, BMOUIF jalin kerjasama pemuliharaan orang utan appeared first on Utusan Malaysia.


