“Marshmallow tu apa sebenarnya?” – Ini Yang Anda Kena Tahu
Marshmallow merupakan salah satu snek manis yang digemari ramai di seluruh dunia.
Teksturnya yang lembut, gebu dan mudah cair di mulut menjadikannya kegemaran bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah turut diminati oleh orang dewasa.
Namun, ramai yang masih tidak tahu kandungan dan proses sebenar pembuatan marshmallow yang mempunyai keunikan tersendiri.
Apa itu marshmallow?
Menurut Reader’s Digest (RD), nama marshmallow berasal daripada tumbuhan ‘mallow’ yang tumbuh di kawasan paya di Asia dan Eropah.
Seawal tahun 2000 SM, masyarakat Mesir Purba menghasilkan manisan melekit daripada getah tumbuhan ini yang dicampur dengan madu dan kacang.
Ketika itu, ia dianggap makanan mewah khusus untuk golongan bangsawan dan dibuat untuk upacara keagamaan.
Pada abad ke-19, masyarakat Perancis mula mencampurkan getah ‘mallow’ dengan putih telur dan gula, lalu dipukul menjadi manisan gebu.
Namun, kerana prosesnya memakan masa yang lama, pengusaha gula-gula beralih menggunakan gelatin sebagai pengganti getah mallow dan acuan kanji jagung bagi mempercepatkan penghasilan.
Ringkasnya, marshmallow ialah gula-gula manis yang kenyal, gebu, lembut dan sedikit melekit.
Difahamkan, ia juga mempunyai kaitan dengan gula-gula getah seperti gummy bear dan pencuci mulut seperti Jell-O.
Marshmallow moden yang kita kenal hari ini sebenarnya ialah buih manis yang diperbuat daripada gula, sirap jagung, udara dan gelatin yang menjadikannya kenyal dan anjal.
Bahan-bahan utama marshmallow
Berikut ialah empat bahan utama dalam marshmallow:
-
Gula: Memberi rasa manis.
-
Sirap jagung: Menstabilkan tekstur dan menambah kelembutan.
-
Gelatin: Protein daripada kolagen haiwan (tulang dan tisu penghubung) yang menjadikannya gebu dan kenyal.
-
Udara: Dimasukkan semasa proses pemutaran untuk menghasilkan buih dan kegebuan.
Gelatin memainkan peranan paling penting kerana ia memberikan tekstur kenyal dan keanjalan kepada marshmallow.
Menurut perkongsian RD, ia mudah cair pada suhu sekitar 35°C, iaitu lebih rendah daripada suhu badan manusia.
Inilah sebabnya marshmallow cepat cair di dalam mulut dan boleh terbakar jika dipanggang terlalu lama di atas unggun api.
Selain itu, gelatin ini dihasilkan daripada kolagen haiwan (biasanya khinzir atau lembu) yang tidak sesuai untuk vegan atau vegetarian.
Jadi, sebagai alternatif marshmallow kini dihasilkan berasaskan tumbuhan menggunakan protein soya atau karagenan (daripada rumpai laut).
Bagaimana marshmallow dibuat?
Resipi marshmallow kekal hampir sama dan tidak banyak berubah sejak lebih 80 tahun lalu sehingga ke hari ini.
Pada tahun 1948, seorang lelaki bernama Alex Doumakes, anak kepada pengasas syarikat Doumak, telah mencipta satu kaedah baharu yang dinamakan penyemperitan (extrusion).
Kaedah ini membolehkan marshmallow dihasilkan dengan lebih cepat, dalam kuantiti yang besar dan kos yang lebih rendah berbanding cara lama.
Prosesnya:
- Gelatin direndam dalam air suam untuk melembutkan dan melonggarkan strukturnya.
- Gula dan sirap jagung dicampurkan, kemudian udara dipukul masuk ke dalam campuran tersebut.
- Apabila campuran ini disejukkan, sebahagian protein daripada gelatin akan kembali mengikat, manakala sebahagian lagi kekal longgar.
- Gabungan udara dan pemanis membentuk buih, dan gelatin akan membantu menstabilkan buih tersebut untuk menghasilkan tekstur gebu dan kenyal yang menjadi ciri utama marshmallow.
Marshmallow vegan dan kosher
Kebanyakan marshmallow di pasaran mengandungi gelatin berasaskan haiwan dan tidak sesuai untuk penggemar vegan dan pengguna yang mengamalkan diet “kosher”.
Untuk mengatasinya, beberapa syarikat telah menghasilkan marshmallow vegan menggunakan campuran protein soya dan karagenan yang mampu meniru struktur kenyal gelatin.
Tempoh tahan marshmallow
-
Belum dibuka: Marshmallow boleh bertahan sehingga tarikh luput yang tertera, malah 1–2 bulan selepas itu jika disimpan pada suhu bilik dan tidak terkena haba berlebihan.
-
Selepas dibuka: Sebaiknya dimakan dalam tempoh seminggu kerana ia boleh menjadi keras atau melekit akibat kelembapan.
-
Pembekuan: Marshmallow boleh dibekukan dalam bekas kedap udara. Ia boleh digunakan terus ke dalam minuman panas atau dibiarkan pada suhu bilik selama 30 minit sebelum dimakan.
Sumber: Reader’s Digest
The post “Marshmallow tu apa sebenarnya?” – Ini Yang Anda Kena Tahu appeared first on Siakap Keli.



