SHAH ALAM – Malaysia perlu melaksanakan reformasi yang lebih tegas bagi memastikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan benar-benar dilindungi.
Setiausaha Kehormat Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (Martabat PJ), Elizabeth Chrisostom berkata, sempena Hari Wanita Antarabangsa 2026, sambutan tersebut tidak seharusnya sekadar simbolik sebaliknya mesti disertai komitmen dan tindakan konkrit bagi menangani halangan struktur yang masih mengekang wanita.
Menurutnya, wanita dan kanak-kanak perempuan di negara ini masih berdepan pelbagai cabaran termasuk keganasan seksual, diskriminasi serta pengasingan daripada ruang membuat keputusan.
"Walaupun pelbagai komitmen dasar telah dibuat selama beberapa dekad, kesaksamaan gender masih jauh daripada dicapai.
"Keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan terus meningkat, wanita masih kurang diwakili dalam kepimpinan politik, dan halangan struktur terus mengehadkan penyertaan ekonomi wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, statistik nasional menunjukkan serangan seksual terhadap kanak-kanak meningkat lebih 21 peratus pada tahun 2023 iaitu daripada 1,147 kes kepada 1,389 kes dalam tempoh setahun.
Menurutnya, polis turut merekodkan 1,590 kes rogol melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur, manakala secara keseluruhan kes rogol di seluruh negara meningkat kepada hampir 1,900 kes pada tahun 2024.
'Kanak-kanak dan remaja kekal sebagai mangsa utama apabila kira-kira 70 peratus kes jenayah seksual di Malaysia melibatkan mangsa kanak-kanak," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, angka itu hanya mewakili kes dilaporkan kerana keganasan seksual masih kurang dilaporkan disebabkan oleh stigma, ketakutan, dan halangan dalam sistem pelaporan institusi.
Elizabeth turut menegaskan bahawa keganasan domestik masih menjadi masalah serius dengan ramai mangsa terperangkap dalam kitaran keganasan akibat kebergantungan ekonomi dan akses terhad kepada perlindungan.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, wanita juga masih jauh ketinggalan dalam penyertaan politik apabila hanya memegang kira-kira 13.5 peratus kerusi Parlimen, iaitu sekitar 28 daripada 222 Ahli Parlimen.
"Malaysia berada sekitar tangga ke-150 dunia dari segi perwakilan wanita di Parlimen, menjadikannya antara negara dengan prestasi rendah dalam indikator ini," kongsinya.
Tambah beliau, penyertaaan ekonomi wanita juga kekal terhad, manakala kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia juga masih rendah iaitu sekitar 56 hingga 57 peratus.
Justeru, Elizabeth berkata, kerajaan digesa melaksanakan reformasi struktur termasuk memperkukuh undang-undang berkaitan keganasan berasaskan gender, memperluas perkhidmatan sokongan mangsa dan meningkatkan penyertaan wanita dalam politik serta ekonomi.
Antara langkah yang dicadangkan termasuklah memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan tempatan melalui langkah khas sementara termasuk kuota gender.
“Wanita di Malaysia tidak meminta layanan istimewa. Kami menuntut hak yang setara, perwakilan yang setara dan kebebasan daripada keganasan," tegasnya lagi.
