
BANDAR RAYA KUWAIT: Sektor minyak Kuwait yang pernah menjadi antara tonggak kemakmuran negara itu tetapi kini sebahagian besarnya lumpuh sejak beberapa bulan lalu, dengan eksport petroleum merosot ketika pertempuran tercetus di seluruh rantau Teluk.
Enam bulan selepas perang tercetus, Kuwait masih berdepan keperluan mendesak untuk mendapatkan akses ke Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi eksport tenaga negara itu.
Namun, selat itu kini terjejas akibat konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Minyak sejak sekian lama menjadi tunjang ekonomi Kuwait, dengan lebih 90 peratus hasil kerajaan dan hampir keseluruhan pendapatan eksport negara itu bergantung kepada jualan minyak mentah yang stabil.
Kuwait juga memiliki kira-kira enam peratus daripada keseluruhan rizab minyak dunia.
Berbeza dengan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait tidak mempunyai saluran paip yang boleh memintas Selat Hormuz, menyebabkan eksport minyak mentahnya terpaksa melalui laluan perairan yang menjadi pertikaian itu untuk sampai ke pasaran antarabangsa.
“Tanpa diragui, ini merupakan krisis paling sukar dan terbesar yang pernah kita hadapi dalam sektor minyak Kuwait sejak pencerobohan Iraq pada 1990,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Petroleum Kuwait (KPC), Shaikh Nawaf Saud Al-Sabah.
Hanya beberapa hari selepas perang AS-Iran tercetus, KPC milik kerajaan mengisytiharkan force majeure, iaitu langkah perundangan yang melindungi sesebuah syarikat apabila ia tidak dapat memenuhi obligasi kontrak akibat kejadian luar jangka seperti perang dan bencana alam.
Notis itu ditarik balik pada Jun.
Negara itu juga berdepan beberapa gelombang serangan Iran yang menyasarkan loji penyahgaraman air dan kemudahan tenaga, termasuk infrastruktur petroleum, selain serangan terhadap pangkalan tentera AS.
“Krisis ini telah memberikan kita cabaran baharu,” kata Shaikh Nawaf kepada AFP dalam satu wawancara eksklusif dari ruang pejabat sementara yang digunakannya selepas ibu pejabat KPC terkena serangan dron pada April.
Menurut data rasmi awal, ekonomi Kuwait menguncup 4.6 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor minyak merosot sebanyak 12.5 peratus.
Kesan sebenar dijangka lebih buruk kerana data ekonomi yang tersedia hanya meliputi bulan pertama konflik.
Shaikh Nawaf menegaskan syarikat itu bekerja tanpa henti untuk melaksanakan pelan kecemasan dan berkata, tangki simpanan di luar rantau berkenaan membantu mengurangkan kesan krisis Selat Hormuz.
Namun, pakar menegaskan walaupun dengan langkah sedemikian, masa depan selat itu kekal amat penting kepada Kuwait dan perang berlarutan akan mendedahkan negara tersebut kepada risiko ketiadaan laluan eksport selamat untuk minyak dan krisis tenaga yang buruk.
“Tiada alternatif lain bagi akses tanpa sekatan ke Selat Hormuz. Jika aliran hidrokarbon melalui Selat Hormuz tidak bebas dan pelayaran melaluinya tidak dapat dilakukan secara bebas, kita akan berdepan satu lagi krisis tenaga dengan cepat,” kata Shaikh Nawaf. – AFP
The post Masa depan Kuwait bergantung kepada nasib Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.
