Masalah bekalan air di Pasir Gdang pulih sepenuhnya: MB Johor

4 Nov 2022 • 3:09 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Masalah ketiadaan air yang dihadapi penduduk di sekitar Pasir Gudang sejak Jumaat lepas pulih sepenuhnya pada tengah malam tadi, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar).

Beliau berkata susulan isu berkenaan, kerajaan negeri akan berbincang dengan Ranhill SAJ mengenai pemberian rebat kepada pengguna yang terkesan.

“Paras air tangki juga telah kembali kepada biasa. Kerajaan negeri turut berbincang dan meminta jasa baik Ranhill SAJ melihat kaedah untuk memberi rebat kepada semua pengguna yang terkesan agar dapat mengurangkan beban pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau berkata masalah bekalan air akibat paip bocor di Persiaran Seri Alam itu berlaku di luar jangkaan ketika menjalankan kerja-kerja teknikal.

Sehubungan itu, beliau berkata prosedur operasi standard akan disemak dan ditambah baik agar bekalan air terawat dapat terus disalurkan kepada pengguna.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air sama ada untuk kegunaan seharian rakyat mahupun sektor industri.

“Namun, saya percaya tempoh bertindak serta terbitan jadual bantuan bekalan air mesti diperbaiki jika berlaku lagi insiden sebegini,” katanya.

Onn Hafiz turut memohon maaf kepada semua penduduk dan sektor perniagaan di Pasir Gudang yang mengalami kesulitan akibat insiden itu selain berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang memberikan bantuan.-Bernama