Masalah Parkir Punca Kesesakan Lalu Lintas Malaysia Bertambah Buruk

31 Jul 2024 • 9:16 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Masalah parkir dikesan antara punca kesesakan lalu lintas di Malaysia - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Majoriti pemandu di negara ini dikesan menghabiskan kira-kira 152 jam setahun untuk mencari tempat parkir, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar menjadi lebih buruk.

Dapatan laman web TomTom.com mendapati, kesesakan lalu lintas di ibu negara meningkat 43 peratus berbanding tahun-tahun sebelum.

Masalah berkenaan dikesan turut merebak ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka dan Johor Baru, terutamanya semasa musim cuti dan perayaan. 

TomTom.com ialah pangkalan data geolokasi yang mengumpul maklumat dari seluruh dunia.

Laman web ini menyalurkan maklumat kepada pengguna berhubung kesesakan, kerja dan penutupan jalan untuk membantu mereka mengesan, sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, ketua syarikat pengurusan tempat parkir, TIMES24 Malaysia Sdn Bhd, Ooi Khai Wen berkata, kawasan parkir perlu disediakan di sekitar pusat bandar bagi mengelakkan kewujudan premis yang beroperasi secara haram dan kesesakan lalu lintas.

“Antara punca kesesakan lalu lintas di kawasan membeli-belah adalah tempat parkir kenderaan yang bertindih dan tidak teratur.

"Walaupun pemandu hanya berhenti selama lima minit, ia sudah cukup menyebabkan trafik tersekat dan mencipta kesan sampingan lain," katanya kepada Getaran. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa sebelum ini dipetik sebagai berkata, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

“Kira-kira 1.5 juta kenderaan memasuki bandar setiap hari dan masalah itu boleh dikurangkan jika lebih ramai pengguna memilih untuk menaiki pengangkutan awam," katanya. 

Syarikat Khai Wen mempunyai kira-kira 90 tempat parkir di Kuala Lumpur, yang kebanyakannya terletak di sekitar pusat bandar.

“Harga kami kompetitif dan bayaran bergantung pada lokasi. Di pusat bandar, kadar setiap jam kami biasanya kekal di bawah RM6, dengan had harian. Di pinggir bandar pula kadarnya adalah sekitar RM2 sejam,” katanya.

Khai Wen berkata, pengangkutan awam yang lebih baik akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.

“Kami mempunyai tempat parkir berhampiran kemudahan pengangkutan awam, dan kami akan menambah lot di kawasan sesak. Ini bagi mengekang kesesakan lalu lintas di bandar dan mengurangkan parkir bertindih dan parkir sembarangan," katanya.

Beliau berkata terdapat lebih daripada 20 lot dengan lot pengecasan untuk e-kenderaan.

Dimulakan pada tahun 1994, TIMES24 bekerjasama dengan lebih 100 rakan kongsi perniagaan di 160 lokasi seluruh Malaysia untuk menyediakan persekitaran tempat parkir  yang selamat dan cekap untuk pemandu. - Getaran, 31 Julai 2024