
JABATAN Kerja Raya (JKR) mungkin mempertimbangkan untuk mengubah kedudukan pembahagi jalan di Jalan Masjid, Tawau bagi memudahkan kenderaan bersaiz besar termasuk lori pemadat sampah melalui laluan berkenaan.
Sementara itu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meningkatkan pemantauan di sebuah jalan di Manggatal bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah sesuka hati di kawasan terbabit.
Tindakan itu susulan aduan mengenai masalah sampah di Taman Poh San, Tawau serta sampah yang bertaburan di pembahagi jalan berhampiran Grand Merdeka Mall di Manggatal.
JKR memasang ‘rubber lane blocks’ bagi melindungi pemandu dan pejalan kaki yang menggunakan Jalan Masjid.Seorang pembayar cukai di Tawau membangkitkan mengenai kewujudan struktur yang didakwa sebagai “bollard” di tengah Jalan Masjid yang menurutnya menyukarkan lori pemadat sampah memasuki Taman Poh San.
Menurutnya sampah di kawasan perumahan berkenaan beberapa kali tidak dikutip kerana struktur itu mengecilkan lebar setiap satu daripada dua lorong di jalan terbabit.
Sementara itu seorang pemandu dari Manggatal mengadu mengenai sampah termasuk puntung rokok, bekas makanan polisterina kosong dan cawan plastik yang ditinggalkan di sepanjang sebahagian Bandar Sierra Boulevard 1 oleh pengunjung pasar malam di kawasan pusat beli-belah berkenaan.
Kedua-dua pengadu memberikan butiran berkaitan aduan mereka kepada Hotline yang kemudiannya dikemukakan kepada agensi berkaitan untuk tindakan.
Jurucakap JKR mengesahkan Jalan Masjid disenaraikan dalam daftar jalan jabatan berkenaan.
Bagaimanapun beliau menjelaskan struktur yang terdapat di pembahagi jalan itu bukan “bollard” seperti yang didakwa.
Jelasnya struktur berkenaan ialah “rubber lane blocks” iaitu peralatan pengurusan trafik tugas berat dan mempunyai tahap keterlihatan tinggi yang digunakan untuk memisahkan lorong serta mengarahkan pergerakan kenderaan.
Beliau menjelaskan struktur itu terdiri daripada tiang fleksibel (flexi-post) yang diperbuat daripada Thermoplastic Polyurethane (TPU), dilengkapi jalur atau pelekat pemantul cahaya serta dipasang pada tapak yang diperbuat daripada getah pepejal kitar semula bertetulang dan berkekuatan tinggi.
“‘Rubber lane blocks’ itu dipasang bagi melindungi pengguna jalan raya.
“Ia dilakukan atas permintaan seorang ahli politik tempatan selepas berlaku kemalangan di Jalan Masjid awal tahun ini, membabitkan perlanggaran dua kereta,” katanya.
Beliau berkata jabatan itu turut menyedari pergerakan pejalan kaki di laluan berkenaan agak tinggi dengan ramai berjalan kaki untuk ke deretan kedai yang terletak bertentangan persimpangan menuju ke Taman Poh San.
“Kita mahu memastikan mereka yang melintas jalan dapat berbuat demikian tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.
Sebelum pemasangan, jurucakap itu berkata cadangan memasang “rubber lane blocks” di Jalan Masjid telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Trafik Majlis Perbandaran Tawau.
“Memandangkan kesukaran yang dihadapi lori pemadat Majlis ketika membelok masuk dan keluar dari Taman Poh San, kita akan cuba merangka kaedah untuk mengatasi masalah ini.
“Ini kemungkinan besar membabitkan pengubahsuaian pada pembendungan di tepi jalan berkenaan,” maklumnya.
Sementara itu beliau meminta pemandu lori pemadat supaya menggunakan pembendungan sedia ada dengan menaikkan lori ke atasnya jika langkah itu membolehkan mereka sampai ke kawasan perumahan berkenaan, memandangkan pembendungan itu tidak begitu tinggi.
Jurucakap Majlis Perbandaran Tawau mengakui perkhidmatan kutipan sampah di Taman Poh San mengalami gangguan secara berkala sejak “rubber lane blocks” berkenaan dipasang.
“Kita terpaksa menggunakan lori kecil untuk membersihkan sampah dari kawasan perumahan berkenaan kerana lori pemadat tidak dapat membelok masuk dan keluar dari kawasan itu.
“Kami telah memaklumkan perkara ini kepada JKR ketika masalah itu mula berlaku dan kini menunggu jabatan berkenaan mencari penyelesaian.” katanya.
Menurutnya dalam keadaan biasa, sampah dari Taman Poh San dikutip tiga kali seminggu.
Bagi kes di Bandar Sierra Boulevard 1 pula kakitangan DBKK memantau keadaan di sepanjang jalan berkenaan dan sekitar Grand Merdeka Mall.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata individu yang didapati membuang sampah sesuka hati di kawasan awam sepanjang laluan itu berdepan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Antisampah Sarap DBKK 1984 (Pindaan 2005).
“Kami menyedari sesetengah pengunjung pasar malam gemar duduk di dalam kenderaan untuk menikmati makanan dan minuman yang dibeli dari gerai.
“Ada juga yang duduk di tepi kotak tanaman di sebelah pusat beli-belah itu untuk berbuat demikian.
“Apa pun keadaannya, individu berkenaan sepatutnya membuang sampah secara bertanggungjawab ke dalam tong sampah dan tidak meninggalkan kawasan awam dalam keadaan bersepah.
“Jika mereka gagal menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab ketika membuang sampah dan didapati membuang sampah merata-rata, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” jelasnya.
Katanya mereka yang berulang kali mengingkari gesaan agensi berkenaan supaya tidak membuang sampah di kawasan awam boleh berdepan tindakan undang-undang.
“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 jika didapati bersalah di mahkamah,” tambahnya.
