KUALA LUMPUR - Masalah dihadapi wanita Malaysia adalah peluang kerjaya dan sokongan masyarakat selepas tamat pendidikan tinggi, bukan kemasukan ke universiti awam (UA) khusus untuk kaum terbabit.
Sehubungan isu berkenaan, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, cadangan penubuhan sebuah UA khusus buat wanita dilihat langsung tidak menyelesaikan masalah, malah menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak memahami cabaran dihadapi golongan itu.
“Sebaliknya, masalah dihadapi wanita adalah peluang kerjaya dan cabaran tanggungjawab dalam keluarga selepas mereka tamat pendidikan tinggi.
“Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh pada tahun 2020 adalah 55.3 peratus sahaja, berbanding dengan kadar penyertaan lelaki pada 80.6 peratus.
“Justeru, masalah pokok di sini adalah sebahagian besar wanita tidak mengambil bahagian dalam pasaran buruh selepas mereka tamat pengajian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilapor merancang menubuhkan sebuah UA khas untuk wanita, yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ketika ini bilangan mahasiswi (pelajar perempuan) di UA ialah lebih 350,000, iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 ( 53 peratus) memasuki institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
Mengulas lanjut, Shu Qi yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, gambaran situasi terbabit menjadi lebih jelas sekiranya kadar penyertaan wanita dan lelaki mengikut kumpulan umur diteliti.
Tambahnya, wanita yang paling aktif dalam pasaran buruh adalah mereka dalam kumpulan umur 20 hingga 24 tahun, iaitu 76.1 peratus. Namun kadar penyertaan wanita mula menyusut pada kumpulan umur 25 tahun ke atas.
Pada masa sama, jelasnya, kadar penyertaan lelaki dalam pasaran buruh mencapai 98 peratus bagi golongan umur 35 hingga 39 tahun, ketika kadar penyertaan perempuan menurun kepada 68.1 peratus.

Malah, ujar Shu Qi, Malaysia menduduki kedudukan ke-103 dalam Indeks Jurang Jantina 2022 antara 146 negara yang diukur oleh Forum Ekonomi Dunia dengan negara ini, hanya tiga tempat lebih tinggi berbanding Myanmar, manakala negara jiran lain seperti Indonesia dan Kemboja masing-masing menduduki tempat ke-92 dan ke-98.
“Masalah di depan mata kita adalah lebih ramai lelaki aktif dalam pasaran buruh, tetapi pelajar lelaki mempunyai enrolmen rendah di UA. Sebaliknya, ramai perempuan memasuki UA, tetapi tidak sambung kerja selepas umur 25 tahun ke atas,” katanya.
Menurutnya, cadangan penubuhan sebuah UA wanita langsung tidak menyelesaikan masalah tersebut.
“Cadangan lebih baik untuk menyelesaikan masalah ketidakpadanan ini adalah mempergiatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), supaya lebih ramai pelajar lelaki menerima latihan sehingga peringkat tertinggi agar kemahiran tenaga kerja lelaki kita dapat dipertingkatkan.
“Kedua, kerajaan harus menyediakan mekanisme dan jaringan sokongan lebih baik supaya wanita boleh terus mengejar impian mereka dalam kerjaya.
“Sekiranya kita mempunyai jaringan sokongan kuat, ramai wanita akan terus mengambil bahagian dalam sektor pekerjaan,” katanya. - Getaran, 23 September 2022

