
PETALING JAYA – Biar ruang udara Jakarta masih berdepan gangguan susulan letusan gunung berapi, sebahagian rakyat Malaysia yang sudah merancang percutian ke ibu negara Indonesia itu tetap mahu mencuba nasib meneruskan perjalanan mereka.
Malah, ada yang sanggup menanggung risiko perubahan atau pembatalan penerbangan pada saat akhir kerana tiket penerbangan dan penginapan sudah ditempah serta dibayar lebih awal.
Perkongsian di media sosial menunjukkan beberapa pelancong Malaysia kini berada dalam dilema sama ada meneruskan perjalanan atau menukar tarikh penerbangan, terutama selepas banyak penerbangan pergi dan balik laluan Kuala Lumpur-Jakarta dilaporkan terjejas.
Seorang pengguna dikenali sebagai Keroll berkata, dia dijadualkan ke Jakarta minggu depan namun masih tertanya-tanya sama ada keadaan penerbangan akan kembali pulih atau sebaliknya.
“Semua persiapan dah buat, hotel tempah…takkan nak rugi, ke nak cuba? Korang rasa?” katanya.
Sementara itu pengguna Threads @apish meminta perkongsian daripada rakyat Malaysia yang kini terkandas di Jakarta berhubung keadaan semasa di bandar berkenaan.
“Korang yang terkandas kat Jakarta sekarang, korang semua macam mana? Okey tak? Boleh kongsi keadaan sekarang kat sana?
“Trip ada yang nak ke sana 9 September 2026. Lebih baik tukar tarikh atau macam mana?” katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Syahrin pula berkata, dia dijadualkan ke Jakarta pada 18 hingga 21 September ini dan bimbang penerbangannya turut dibatalkan sekiranya keadaan berterusan.
“Ikutkan 18 hingga 21 September aku akan ke Jakarta. Tiket dah lama beli. Kalau keadaan sekarang ini berterusan, agak-agak penerbangan boleh terbatal ke?” soalnya.
Turut berada dalam dilema ialah pengguna Zura yang dijadualkan berlepas pada 14 September ini, namun dia perlu membuat keputusan segera berhubung tempahan hotel yang bakal tamat tempoh pembatalan percuma.
“Semua dah bayar, hotel hari ini hari terakhir dapat pembatalan dekat Agoda. Perlu ke batal dulu atau biarkan sahaja? Risau pun ada kalau penerbangan batal saat akhir. Sekarang penerbangan tak batal lagi,” katanya.
Situasi itu menggambarkan kebimbangan pelancong Malaysia yang masih berharap perjalanan mereka ke Jakarta dapat diteruskan, meskipun ketidaktentuan operasi penerbangan ketika ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan debu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau terus menjejaskan penerbangan di beberapa bahagian di Indonesia memasuki hari kedua, hari ini.
Gangguan itu membabitkan lapan lapangan terbang dengan lebih 240 penerbangan terganggu, selain hampir 30,000 penumpang terkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sahaja.
Setakat pukul 6.30 pagi tadi, sebanyak 243 penerbangan dan 29,619 penumpang terkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 184 penerbangan domestik, 54 penerbangan antarabangsa dan lima penerbangan kargo terjejas. – KOSMO! ONLINE
The post Masih ada yang nak cuba nasib ke Jakarta appeared first on Kosmo Digital.






