Masih Bertali Pusat, Mayat Bayi Perempuan Cukup Sifat Ditemui Dalam Tong Sampah

28 Sep 2023 • 8:01 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Masih Bertali Pusat, Mayat Bayi Perempuan Ditemui Dalam Tong Sampah

Mayat bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat ditemui di blok salah sebuah flat di Bandar Baru, Air Hitam, hari ini. Jasad bayi cukup sifat yang sudah tidak bernyawa itu ditemui dalam tong sampah di blok berkenaan.

Memetik Sinar Harian, mayat bayi tanpa seurat benang itu ditemui secara tidak sengaja oleh sekumpulan pekerja pembersihan ketika ingin memasukkan sampah ke dalam lori, kira-kira 10 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, beliau mengesahkan penemuan mayat bayi tersebut.

“Saya mengesahkan pihak polis ada menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” ujarnya sewaktu dihubungi hari ini.

Bayi Lelaki Ditemukan Di Luar Pusat Tahfiz

Terdahulu, seorang bayi lelaki yang cukup sifat ditemukan di atas wakaf luar pagar sebuah pusat tahfiz dekat Kampung Batu Tumbuh pada 29 Ogos lalu, lapor Bernama.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad, pada pukul 8 pagi orang awam yang sedang mengecat pusat tahfiz berkenaan menemukan bayi itu.

“Semasa lelaki itu melakukan kerja-kerja mengecat di dalam pusat tahfiz berkenaan, dia terdengar jeritan suara bayi.

“Pengadu kemudiannya mengikuti suara dan terjumpa bayi lelaki yang berbungkus dengan kain merah diletakkan di dalam bekas plastik juga berwarna merah di wakaf luar pagar pusat tahfiz.

“Pengadu terus menghubungi balai polis. Pengadu juga mengatakan tidak nampak sesiapa yang meletakkan bayi itu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, bayi tersebut dipercayai dilahirkan cukup sifat dalam tempoh sekitar 48 jam dan seberat 2.6 kilogram.

“Bangsa tidak dapat dipastikan, dan semasa diterima tali pusat bayi masih belum di potong. Ia hanya disimpulkan serta terdapat jangkitan kuman pada tali pusat bayi itu,” maklumnya.

Bayi lelaki itu telah dibawa ke Hospital Besut sementara kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian