

Masih Kekal Relevan, Facebook Kini Genap 20 Tahun
Platform media sosial gergasi, Facebook menyambut ulang tahun yang ke-20 tahun penubuhannya semalam, lapor CNN.
Aplikasi ini diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sewaktu beliau masih seorang pelajar Universiti Harvard. Pada awalnya, rangkaian sosial itu diciptakan adalah untuk penggunaan rakan-rakan pelajarnya.
Namun, sepanjang dua dekad pelancaran aplikasi tersebut, Facebook terus menunjukkan momentum dan penguasaannya sementara pesaing awal, MySpace dan Friendster telah ‘terkubur’.

Difahamkan, platform ini mempunyai dua bilion pengguna aktif setiap hari. Ciri-ciri yang ditampilkan oleh Facebook menjadikan ia berbeza daripada pelopor-pelopor platform media sosial lain.
Hal ini kerana Facebook memberi penekanan kepada hubungan sosial melalui tanda “suka”, komen, perkongsian dan kiraan rakan serta dibantu dengan suapan berita yang boleh dikemas kini pengguna tentang kehidupan rakan dan kenalan mereka.
Sementara itu, seorang profesor di jabatan Pengajian Komunikasi di Northwestern University, Pablo Boczkowski berkata antara faktor kejayaan Facebook adalah berjaya memanfaat dan memperhebat dalam mendekati masyarakat.
Dia turut menyifatkan aplikasi di bawah Meta Platforms Inc. (META) itu mempunyai pencapaian yang cukup memberangsangkan.
“Dalam sektor ekonomi yang berubah dengan pantas selama 20 tahun, ia adalah satu pencapaian yang luar biasa. Saya nampak Facebook sebagai sebuah syarikat yang cukup baik dalam mendengar kemahuan pelanggan dan ingin menyampaikan produk secara optimum. Ia sangat cekap dan berjaya,” katanya.

Biarpun perubahan yang diperkenalkan oleh Facebook tidak semuanya berjaya, Boczkowski menjelaskan platform tersebut kini berdiri jauh berbanding ketika awal ia diperkenalkan.
Selain Facebook, beberapa aplikasi media sosial seperti Instagram, Facebook Messenger dan WhatsApp juga berada di bawah Meta yang mula mengambil alih sebagai syarikat induk pada tahun 2021.
“WhatsApp juga merupakan salah satu aplikasi permesejan paling popular di beberapa negara termasuk India, Brazil, Argentina dan Itali. Bagi sebahagian besar penduduk global, penggunaan perkhidmatan itu secara percuma merupakan sesuatu yang menjimatkan kos.
Pada Julai tahun lalu, Meta telah melancarkan aplikasi terbaharu, Threads yang menarik puluhan juta pengguna harian.
Sumber: CNN
The post Masih Kekal Relevan, Facebook Kini Genap 20 Tahun appeared first on Siakap Keli.


