

Tiada yang terselamat, 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket meluluskan kenderaan berat secara tidak sah setelah ‘kenyang menerima suapan’ ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Aktiviti haram itu dikesan hasil siasatan yang dibuat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara. Kesemua suspek lelaki, berumur antara 20 hingga 40-an, ditahan dalam dua fasa pada hari Selasa dan Rabu, lapor Sinar Harian.
Tangkapan dilakukan antara jam 1 hingga 2 petang pada Selasa serta 10 pagi hingga 3 petang pada Rabu, ketika mereka hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Rasuah Tunai Melalui ‘Runner’

Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima sogokan dalam bentuk wang tunai berjumlah antara RM150 hingga RM1,500 setiap bulan. Bayaran tersebut dipercayai diberikan oleh ‘runner’ sebagai balasan meluluskan pemeriksaan kenderaan berat tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.
Penahanan ini merupakan susulan daripada penangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu. Tindakan ini juga hasil daripada siasatan ke atas seorang ejen yang sebelum ini diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada SPRM.
Jumlah Tangkapan Meningkat Kepada 22 Orang

Setakat ini, seramai 22 individu telah ditahan oleh SPRM, termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua ‘runner’ yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.
Kes Disiasat Di Bawah Akta SPRM 2009
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan tersebut. Kes ini kini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang berkaitan pemberian atau penerimaan rasuah.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 13 pegawai pemeriksa yang ditahan pada Selasa dan Rabu akan dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangan mereka diambil.
Sumber: Sinar Harian

