
PONTIAN – Bayangan lapan anggota komunis mengintai di sebalik rimbunan pokok hutan ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang masih menghantui ingatan bekas anggota tentera, Pegawai Waran 1 (B) Fauzi Sokandar sehingga kini.
Lebih mendebarkan, ketika itu Fauzi, 70, dan pegawainya tidak menyedari mereka sedang diperhatikan kumpulan bersenjata terbabit ketika melalui kawasan Gerik, Perak pada 1984.
Menurutnya, dia hanya menyedari sesuatu yang mencurigakan apabila terpandang beberapa susuk tubuh sedang memerhatikan kenderaan yang dinaikinya.
“Ketika itu kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai pergerakan komunis, namun pegawai ada meminta supaya saya sentiasa bersedia dan menembak jika keadaan menjadi cemas,” katanya di sini.
Menurut Fauzi, lebih mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa lapan suspek berkenaan adalah anggota komunis dan kesemua mati ditembak anggota keselamatan pada malam sama selepas pergerakan kumpulan itu dikesan.
Beliau yang pernah bertugas selama sembilan tahun di Sabah berkata, dia dihantar ke Gerik, Perak yang ketika itu antara kawasan panas akibat ancaman komunis bagi mengendalikan bahagian logistik.
“Tugas saya termasuk memastikan bekalan makanan, minyak dan keperluan lain dihantar kepada anggota yang bertugas di kawasan berkenaan. Setiap kali penghantaran dikawal sebuah kereta kebal kerana ancaman komunis masih wujud,” katanya.
Malah, katanya, ancaman ketika itu sangat serius sehingga perintah berkurung dilaksanakan di Gerik bermula pukul 4 petang.
Fauzi menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada 1996 selepas 21 tahun berkhidmat sebelum menyambung kerjaya di Majlis Daerah Pontian (MDP) selama 19 tahun dan bersara pada usia 58 tahun.
Beliau pernah terlibat menguruskan logistik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Atas jasa dan khidmat cemerlang sepanjang 21 tahun dalam ATM, Fauzi menerima beberapa pingat termasuk Pingat Perkhidmatan Am (PPA), Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Bentara Angkatan Tentera (BAT) dan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PPSB).
The post Masih terbayang diintai komunis 42 tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.


