Masjid At-Taufiqiah kerap dilanda banjir, ditutup sementara waktu

LocalEnvironment
4 Nov 2026 • 9:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Masjid At-Taufiqiah kerap dilanda banjir, ditutup sementara waktu

SHAH ALAM, 4 NOV: Masjid At-Taufiqiah di Puncak Alam yang hampir setiap tahun dinaiki air sehingga digelar ‘Masjid Banjir’ sekali lagi dilanda bencana dengan kejadian kali ini antara yang terburuk.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, Hasan Md Rasol, 62, berkata kejadian disedari selepas isterinya, Suriatie Mohd Senin, 50, memaklumkan paras air di belakang rumah mereka meningkat dengan pantas kira-kira jam 7 pagi tadi.

Menurutnya, beliau yang baru pulang selepas menunaikan solat Subuh segera berpatah balik ke masjid bagi memaklumkan keadaan itu kepada imam dan AJK lain.

“Kami segera bergotong-royong menyelamatkan karpet di ruang solat, pembesar suara mudah alih, sejadah dan al-Quran. Malah, suis utama juga ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Selesai sahaja urusan, air deras melimpah masuk ke dalam kawasan masjid dengan membawa sampah sarap dan lumpur,” katanya ketika ditemui, lapor Berita Harian.

Hasan berkata pengalaman berdepan banjir hampir setiap tahun menyebabkan pihak pengurusan masjid sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan kejadian berulang.

“Boleh dikatakan setiap tahun masjid ini dinaiki air sampai ada yang memberi gelaran Masjid Banjir,” katanya.

Beliau menjelaskan banjir terakhir berlaku pada awal tahun lalu, namun ketika itu air hanya memasuki ruang legar masjid, berbanding kejadian kali ini yang disifatkan sebagai kedua terburuk selepas banjir besar Disember 2021.

Menurutnya, kejadian banjir turut menyebabkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit, terutama membabitkan kerosakan pendawaian elektrik akibat litar pintas selain menjejaskan struktur bangunan.

“Bagaimanapun, kami bersyukur ramai memberi sedekah kepada masjid ini selain prihatin dengan masalah dihadapi,” katanya.

Sementara itu, masjid berkenaan menerusi Facebook memaklumkan penutupan sementara waktu kerana dilanda banjir.

"Dukacita dimaklumkan Masjid At-Taufiqiah ditutup sementara waktu untuk semua urusan atas sebab musibah banjir yang melanda.

"Masjid akan dibuka semula selepas proses pembersihan dan membaik pulih selesai.

"Mohon semua mendoakan agar segala urusan dipermudahkan Allah SWT. Bagi sesiapa yang ingin menyumbang atau menderma, boleh terus berbuat demikian melalui QR tabung bencana masjid atau secara pemindahan dana atas talian Bank Islam Malaysia Berhad (12298010026137)," kata kenyataan itu lagi.

Image from: Masjid At-Taufiqiah kerap dilanda banjir, ditutup sementara waktu
Pemakluman penutupan sementara Masjid At-Taufiqiah, Puncak Alam akibat banjir pada 4 November 2026. Foto Facebook Masjid At-Taufiqiah

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved