Masjid Jamek Ar-Ridzuan Berjaya Kumpul Hampir RM2 Juta Dalam Tempoh Kurang 36 Jam

LocalPolitics
8 May 2025 • 9:54 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, kami ada melaporkan mengenai kisah Masjid Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai yang memerlukan sebanyak RM1.8 juta untuk diselamatkan kerana sebahagian struktur bangunan dibina di atas tanah wakaf yang telahpun dimilik individu bukan Islam.

Lot tanah berkeluasan 0.61 hektar itu menempatkan stuktur penting masjid termasuk dewan Muslimah, tandas wanita serta lebih 30 pusara.

Susulan itu, pelbagai usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan rumah ibadat terbabit termasuk membuat hebahan kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan.

Dalam tempoh kurang 36 jam, hampir RM2 juta berjaya dikumpul

Terbaharu, tidak sampai 36 jam selepas kisah itu ditularkan, pengurusan masjid telah berjaya mengumpul dana hampir mencecah RM2 juta sekali gus mencukupi untuk menebus semula tanah wakaf berkenaan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong di akaun Facebook miliknya, sebanyak RM1,977,482.20 berjaya dikumpul setakat 8.30 malam tadi (7 Mei) iaitu melebih jumlah yang diperlukan untuk urusan jual beli tanah.

Kutipan sumbangan telah ditutup secara rasmi

Susulan itu, Firdaus berkata pihak pengurusan masjid telahpun menutup kutipan sumbangan itu secara rasmi malam tadi.

“Kami juga telah mendapatkan peguam-peguam kami untuk membantu pihak masjid dalam rundingan dan isu-isu yang mungkin berbangkit nanti.

“Kita umat Islam telah berjaya membuktikan bahawa kita bermaruah dan kita mampu bersatu, jika kita MAHU! Allahuakbar.

“Jazakumullahu Khairan kepada semua media & semua sahabat-sahabat yang sama-sama berusaha menguar-uarkan sehingga kita semua berjaya melepasi sasaran RM1.8 juta,” katanya.

Kemelut bermula selepas waris pewakaf jual tanah tanpa pengetahuan masjid

Terdahulu, kemelut Masjid Jamek Ar-Ridzuan bermula apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar yang menempatkan rumah ibadat umat Islam itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.

Pihak masjid hanya menyedari perubahan hak milik tanah itu sekitar tahun 2015 lalu ketika proses pengukuran semula kawasan tanah perkuburan bagi membina pagar di kawasan terbabit.

Lebih mengejutkan, pembeli tidak dimaklumkan oleh penjual yang tapak tanah tersebut turut menempatkan binaan rumah ibadat.

Prosedur mohon hasrat wakaf adalah mengikut negeri

Secara ringkasnya, terdapat beberapa prosedur untuk memohon hasrat wakaf di negara kita, ia bagaimanapun berbeza dan diuruskan oleh agensi berlainan mengikut lokasi wakaf.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin mewakafkan tanah di Selangor, anda boleh melakukannya di Perbadanan Wakaf Selangor dan jika di Wilayah Persekutuan melalui Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd.

Namun, mengikut Yayasan Wakaf Malaysia, terdapat beberapa rukun dan syarat yang perlu dipenuhi oleh Wakif (pewakaf), Mawquf (harta yang diwakafkan), Mawquf ‘Alaih (penerima wakaf) dan terakhir Sighah iaitu penyataan wakaf.

Pun begitu, kesemua harta wakaf ini diuruskan oleh pemegang amanah tunggal iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).