Masjid Madani yang dibangunkan di atas tanah milik Jakel di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah, di sini, dijangka siap sepenuh dalam tempoh dua tahun, lapor Harian Metro.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, masjid yang dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi itu turut mempunyai dewan acara, selain pejabat serta kemudahan asas lain.
Ujarnya, pembinaan itu berkonsepkan intipati Malaysia dan setinggi empat tingkat, ia mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.
“Masjid Madani dijangka siap dalam masa 24 bulan dari tarikh pembinaan dan akan menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan syiar Islam di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur,” katanya.

Masjid Madani siap dalam dua tahun
Mohamed Faroz berkata, pembinaan Masjid Madani direalisasikan atas hasrat bapanya, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad, dengan mengambil kira keperluan masyarakat setempat.
“Masyarakat di sini sering berdepan masalah kesesakan teruk di masjid berhampiran, terutamanya pada hari Jumaat dan musim perayaan.
“Kewujudan Masjid Madani bukan sahaja memberi manfaat kepada umat Islam di kawasan sekitar, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan kemudahan beribadah yang lebih selesa dan teratur,” katanya lagi.

Artikel lain: Isu perpindahan kuil bukti Kerajaan MADANI urus sensitiviti agama dengan bijak – Ketua Pengarah JKOM
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani, di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyelesaian dicapai dalam isu berkaitan tapak Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah, di sini bukanlah bertujuan untuk menunjukkan kemenangan atau keangkuhan.
Beliau turut menegaskan bahawa kaedah penyelesaian yang harmoni, termasuk dalam menangani isu sensitif, bukanlah tanda kelemahan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Sumber: Harian Metro (Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Muhamad Lokman Khairi)
