Masjid Negeri lokasi utama World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan

3 Mar 2026 • 1:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Masjid Negeri di Seremban dipilih sebagai lokasi utama Program World #QuranHour 2026 peringkat Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Masjid Negeri di sini dipilih sebagai lokasi utama penganjuran program World #QuranHour 2026 peringkat Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 11 Mac ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 peserta dengan 1,000 daripadanya berhimpun di lokasi utama.

Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelumnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan terus menjadi rakan sinergi dalam menjayakan serta mengimarahkan program berkenaan.

“Tahun ini merupakan tahun ke-11 program ini dianjurkan dan mesej utama yang kita bawa ialah untuk mengQurankan ummah.

“Rumah Ngaji Negeri Sembilan tidak pernah berputus asa untuk terus menyebarkan gerakan ini kerana al-Quran mampu membentuk individu dan masyarakat secara menyeluruh melalui pembinaan akhlak mulia, jati diri yang teguh serta keimanan yang kukuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, beliau amat berharap sokongan daripada pelbagai pihak terutama barisan kepimpinan negeri untuk menjayakan program terbabit.

Selain itu katanya, pemilihan Surah al-Muzzammil pada tahun ini membawa mesej pentingnya setiap individu membentuk diri terlebih dahulu sebelum membangunkan organisasi, masyarakat dan negara.

Ujarnya, pembentukan diri antaranya boleh dilakukan dengan bangun malam atau Qiamullail yang menjadi amalan pemimpin Islam terdahulu.

"Selepas tema Surah as-Saff tahun lalu yang menekankan kekuatan saf dan kesatuan pasukan, penganjuran kali ini memberi fokus kepada pembentukan karakter dan jati diri individu.

"Dalam kehidupan seharian kita, mesejnya jelas bahawa kekuatan sesebuah organisasi, jabatan itu turut bergantung kepada kekuatan anggotanya dan sebab itulah pentingnya pembentukan diri setiap individu itu berpandukan kepada al-Quran," katanya.