
Masjid Tayang “Game” EPL Sempena Ambang Tahun Baharu – JAIWP
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bersempena ambang tahun baharu pada 31 Disember ini.
Berita baik ini telah diumumkan menerusi satu hantaran yang dimuat naik akaun rasmi Facebook JAIWP, 3.52 petang hari ini.
Menurut hantaran itu, sambutan ambang tahun baharu itu akan melibatkan masjid-masjid yang berada di sekitar Wilayah Persekutuan.
Masjid tayang EPL di malam ambang tahun baharu
JAIWP berkata, pelbagai pengisisan menarik akan disediakan untuk para pengunjung masjid pada hari tersebut.
Antaranya adalah ceramah dan kuliah Maghrib khas oleh penceramah tersohor, bacaan Yasin dan Tahlil serta bacaan doa akhir dan awal tahun.
Selain itu, JAIWP juga akan mengadakan program qiamullail dan munajat untuk Palestin.
Masjid Saidina Ali K.W, Padang Balang Gombak Bakal Tayang Perlawanan EPL
Dalam pada itu, salah sebuah masjid yang terlibat turut membawa kelainan dalam program sambutan ambang tahun baru kali ini.
Masjid Saidina Ali K.W, Padang Balang Gombak dilapor akan menganjurkan sesi tayangan langsung Liga Premier Inggeris (EPL).
Menurut poster yang tular, tayangan skrin besar itu akan melibatkan perlawanan di antara Arsenal menentang Fulham.
Selain itu, pengunjung remaja dan belia juga boleh menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM1,000.
Bukan itu sahaja, hidangan sate turut disajikan secara percuma kepada penonton sepanjang tayangan perlawanan tersebut berlangsung.
Masjid berkenaan juga akan mengadakan Kuliah Maghrib Khas yang akan disampaikan oleh Maulana Hasnol Nizam pada jam 7.30 malam.
Manakala, Qiamullail Munajat Palestin dan Kuliah Subuh pula akal dikendalikan Dr Abd Rahman Othman.
Menurut JAIWP, penganjuran program seumpama ini bertujuan untuk menarik anak muda mendekati masjid.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menawarkan program-program sihat dan bermanfaat yang boleh disertai anak muda ketika ambang tahun baru.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) via Facebook
The post Masjid Tayang “Game” EPL Sempena Ambang Tahun Baharu – JAIWP appeared first on Siakap Keli.


