Masjid Wakaf Tembesu lokasi Malaysia #QuranHour 2026 di Terengganu

26 Aug 2026 • 5:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Masjid Wakaf Tembesu lokasi Malaysia #QuranHour 2026 di Terengganu
Kakitangan Masjid Wakaf Tembesu dan Rumah Ngaji Terengganu memegang plakad sempena Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos ini.

​KUALA NERUS — Masjid Wakaf Tembesu dipilih sebagai lokasi penganjuran program Malaysia #QuranHour (MQH) 2026 peringkat negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini bermula jam 12 tengah hari.

Bendahari Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu, Mahmud Jamuludin berkata,​ lokasi berkenaan dipilih berikutan kedudukannya yang strategik di laluan utama orang ramai bagi memudahkan kehadiran sekitar 400 peserta merangkumi pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), penjawat awam, komuniti setempat serta kariah masjid.

Menurutnya, pogram itu dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Rumah Ngaji Negeri Terengganu, Pejabat Agama Kuala Nerus dan Yayasan Pendidikan Maidam dengan membawakan tema 'Surah Al-Muzzammil Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.

"​Sesi pengisian tadabbur akan disampaikan oleh penceramah bebas, Amir Syakirin Mazlan serta Pegawai Agama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) merangkap pendakwah bebas, Ulwan Hamdan, manakala alunan ayat suci al-Quran dipimpin oleh Pengasas Qari Muslim, Mohamad Muslim.

​"Mesej penganjuran tahun ini selari dengan gagasan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang diangkat oleh kepimpinan kerajaan negeri," katanya.

​Menurut beliau, program itu bertujuan mengajak rakyat Terengganu bangkit menghadapi cabaran kehidupan dengan menjadikan al-Quran sebagai pedoman serta sumber kekuatan.

​"Kita menyedari setiap rakyat berdepan dengan 'kabad' atau kesukaran dan cabaran masing-masing. Antara isu yang pernah berbangkit sebelum ini adalah peningkatan kes perceraian di Terengganu antara tahun 2023 hingga 2025 yang berpunca daripada tekanan ekonomi, masalah komunikasi dan kestabilan emosi.

​"Isu ini menunjukkan cabaran kehidupan hari ini bukan sekadar isu individu, tetapi memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat," katanya.

​Beliau berkata, penganjuran MQH 2026 diharap mampu mencetuskan gelombang kesedaran untuk memperkasakan penghayatan al-Quran dan pengukuhan nilai keperibadian melalui ibadah solat demi membina masyarakat yang sejahtera.

​Sehubungan itu, katanya seluruh rakyat Terengganu digalakkan hadir menyemarakkan program berkenaan yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Terengganu Bertadabbur.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved