Mastercard Strive Malaysia diperkenal bagi memperkasa pertumbuhan PMKS dalam ekonomi digital
diyana
26/06/2023 - 17:05
KUALA LUMPUR 26 Jun - Mastercard Strive Malaysia dilancarkan untuk menyokong keutamaan pertumbuhan 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia dalam ekonomi digital dengan kerjasama The Asia Foundation.
Mastercard berkata dalam satu kenyataan media hari ini bahawa program tersebut memberi tumpuan kepada perniagaan milik wanita dan diterajui wanita untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil tempatan dengan menyediakan akses kepada alatan, rangkaian dan sumber penting sambil memupuk ekosistem perniagaan lebih disokong.
The Asia Foundation adalah organisasi pembangunan antarabangsa bukan keuntungan yang komited untuk memperbaiki kehidupan dan mengembangkan peluang di seluruh Asia dan Pasifik.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya berbesar hati menyokong mana-mana usaha sektor swasta yang menyumbang kepada pengukuhan ekosistem keusahawanan kondusif.
“Saya amat percaya bahawa Strive Malaysia boleh menjadi platform untuk menyediakan usahawan, terutamanya wanita, dengan sokongan penting untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital,” ujar beliau.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordi berkata kementerian berbesar hati untuk bekerjasama dengan Mastercard Centre for Inclusive Growth dan Asia Foundation untuk membuka peluang kepada 105 kolej komuniti.
Presiden Bahagian Asia Tenggara Mastercard, Safdar Khan berkata Mastercard komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di Malaysia dengan membolehkan PMKS menangani kekangan kepada pendigitalan, serta akses kepada alatan, kemahiran dan sumber yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan.
Menurut Mastercard, kaji selidik PayPal bertajuk Accelerating Small and Medium-Sized Enterprise (SME) Digitalisation in Malaysia menunjukkan bahawa dengan menangani jurang jantina keusahawanan dan menyediakan sokongan yang disasarkan kepada lebih ramai usahawan wanita, Malaysia berpotensi meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sehingga 6%.
“Oleh itu, Strive Malaysia akan berusaha untuk memahami jurang yang dialami oleh usahawan wanita dalam perjalanan pendigitalan mereka dan menyediakan rumusan yang sesuai,” tambahnya.
Mastercard dan The Asia Foundation akan bekerjasama dengan rakan kongsi kerajaan dan swasta untuk menyediakan perkhidmatan sokongan kepada PMKS yang dikenal pasti, menyumbang kepada visi kerajaan untuk membina masyarakat digital inklusif. - DagangNews.com



