
Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memasukkan rakyat Sabah dan Sarawak dalam urusan pendaftaran pengundi pos, kata bekas Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking.
Beliau berkata terdapat ramai rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja dan menetap di Semenanjung Malaysia dan memerlukan kos yang tinggi untuk mereka pulang mengundi pada pilihan raya parlimen akan datang.
“Penyertaan mereka dalam proses demokrasi adalah penting kerana kebanyakan mereka akan merasa sukar, jika tidak mahal, untuk pulang ke Sabah dan Sarawak kerana kos tambang penerbangan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa lepas. Beliau berkata ia adalah tidak wajar untuk menafikan hak mereka sebagai pengundi.
“Walaupun semasa pandemik, cara baharu melakukan dan meneruskan perniagaan serta mesyuarat rasmi dicipta secara inovatif seperti melalui panggilan video malah badan kehakiman juga mengeluarkan penghakiman melalui dalam talian,” katanya.
Dengan kreativiti sedemikian, beliau berharap SPR membenarkan pendaftaran rakyat Sabah dan Sarawak sebagai pengundi pos.
Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, beliau berkata rakyat Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya dinafikan hak perlembagaan mereka kerana tidak dapat pulang ke tanah air kerana isu kos tambang penerbangan.
Beliau berkata SPR mesti berpihak kepada semua pengundi dan melakukan perkara yang betul dengan mendaftarkan semua pengundi Sabah dan Sarawak untuk mengundi pada pilihan raya akan datang melalui undi pos.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

