Masyarakat Cina di Kelantan mahukan perubahan

Politics
31 Oct 2022 • 7:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hock Kuan (tengah) pada Pelancaran Jentera BN Negeri Kelantan di Machang.

MACHANG - Pendekatan melalui hebahan dan program yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu menarik pengundi khususnya masyarakat Cina di luar bandar yang rata-ratanya mahu perubahan di negeri Kelantan.

Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan, Chua Hock Kuan berkata, masyarakat Cina sebenarnya mahukan kerajaan yang mampu menjaga hak dan kebajikan mereka sebagai golongan minoriti yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri itu.

“Mereka sekarang sudah boleh berfikir dengan waras kerana sudah melalui zaman pentadbiran di bawah Pakatan Harapan (PH). Bila mereka sendiri lihat, maka mereka juga akan ingat dan ambil iktibar.

“Selain itu, sokongan masyarakat Cina di Kelantan kepada BN boleh dikatakan tinggi kerana golongan ini sering bergaul dengan penduduk tempatan yang kebanyakannya adalah Melayu.

“Jadi mereka dapat perkhabaran dan penerangan yang jelas selain menyertai program-program yang dianjurkan oleh BN setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Kelantan di Labok di sini pada Isnin.

Tambahnya, sudah tiba masa rakyat berfikir dan menilai pemerintahan kerajaan Pas di negeri Kelantan yang telah mentadbir selama 32 tahun tetapi masih dibelenggu pelbagai masalah termasuklah masalah air yang belum diselesaikan.