
RANAU: Masalah dokumentasi yang berlarutan bukan sahaja menjejaskan status kewarganegaraan seseorang, malah boleh menutup peluang mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, urusan rasmi kerajaan dan pembukaan akaun bank, sekali gus menyebabkan golongan terlibat terus tercicir daripada arus pembangunan.
Realiti itu terserlah apabila lebih 500 aduan dan permohonan berkaitan kewarganegaraan serta dokumentasi diterima menerusi program mobile court di Dewan Masyarakat Tibabar, di sini, yang berakhir semalam.
Ketua Penerangan STARSABAH, Anuar Ghani berkata, kebanyakan pemohon tidak mempunyai dokumen pengenalan lengkap akibat kelewatan mendaftarkan kelahiran, masalah dokumen perkahwinan dan kekurangan dokumen sokongan.
“Isu itu perlu diberi perhatian berterusan kerana dokumentasi yang lengkap menjadi asas kepada kehidupan seseorang, selain memastikan masyarakat orang asal Sabah tidak terus terpinggir daripada menikmati hak serta kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Isu lain dikemukakan ialah permohonan kewarganegaraan, pendaftaran kelahiran lewat, kesukaran mendapatkan kad pengenalan akibat ketiadaan dokumen, selain urusan surat akuan, angkat sumpah di hadapan majistret dan penyerahan dokumen kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya hari ini.
Program ini membuka ruang untuk mereka mendapatkan penjelasan serta mengetahui tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah masing-masing.
Ia turut memberi peluang kepada penduduk, khususnya masyarakat orang asal Sabah, mendapatkan khidmat secara terus daripada agensi berkaitan tanpa perlu berulang-alik ke pelbagai pejabat kerajaan.
Program hasil kerjasama Jabatan Kehakiman, Sabah Law Society (SLS), JPN, Polis Diraja Malaysia, Mahkamah Anak Negeri Sabah, Jabatan Insolvensi, Pejabat Daerah Ranau dan Jabatan Bantuan Guaman itu dimanfaatkan lebih 200 penduduk.
Ia turut mendapat perhatian Ketua Hakim Negara, Tun Wan Farid Wan Salleh bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Wan Azizah Nawawi yang melawat lokasi berkenaan sebagai tanda komitmen institusi kehakiman mendekati masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, hasil mengendalikan program itu berjaya menangani banyak kes berkaitan dokumentasi penduduk yang berlanjut terlalu lama.
Katanya, permasalahan dihadapi penduduk berkenaan hanya diketahui, apabila mereka tampil dengan harapan mendapatkan penyelesaian ketika program dilaksanakan di tempat berhampiran kampung mereka.
“Ada penduduk hampir putus asa tidak memperolehi hak mereka dan tidak tahu kepada lagi hendak menyatakan kekesalan itu selepas berusaha sekian lama dan tiada memperoleh jalan penyelesaian.
“Lebih menyedihkan ada penduduk meninggal dunia tanpa berpeluang memperoleh dokumentasi diri mereka,” katanya.-UTUSAN
The post Masyarakat pedalaman Sabah berdepan masalah dokumentasi appeared first on Utusan Malaysia.
