Maszlee umum pertahan kerusi Simpang Renggam

Politics
19 Oct 2022 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Maszlee akan mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 nanti.

SHAH ALAM - Penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengumumkan akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jelasnya, pencalonannya itu turut disahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan yang berlangsung pada pagi Rabu.

"Pagi ini saya telah menerima amanat dan pertanggungjawapan daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pengerusi PH (Anwar).

"Antara amanat beliau, pertahankan Parlimen Simpang Renggam dengan apa harga sekalipun demi Malaysia dan masa depan pendidikan negara!" katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Sementara itu, di ruangan komen rata-rata warganet memberi reaksi positif mengenai perkhabaran yang dikongsikan bekas Menteri Pendidikan itu.

“Semoga rakyat terus menyokong,” kata pemilik akaun Facebook Zaikhan Abdul Rahim di ruangan komen.

“Terbaik, moga PH kembali ke Putrajaya,” kata Khir Ariffin pula.

Pada PRU14, Maszlee memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam selepas menewaskan calon BN, Datuk Liang Teck Meng yang menyandang kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 3,475 undi.