'Mat Motor' Ganggu Ceramah Syed Saddiq, ‘Ini Biasalah Taktik UMNO, BN’,

Politics
17 Oct 2022 • 9:24 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Berlaku kekecohan ketika Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ceramah di Muar, malam tadi. - Tangkapan layar dari video di Twitter Mutalib Uthman

KUALA LUMPUR - Ceramah kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berlangsung di Muar, malam tadi terganggu seketika apabila sekumpulan ‘mat motor’ tiba-tiba menimbulkan kekecohan.

Suasana yang mulanya tenang bertukar menjadi tegang ketika tiba giliran Presiden MUDA yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapannya.

Menerusi beberapa video yang tular di Twitter, sekumpulan ‘mat moto’ berbaju hitam dilihat mencetuskan provokasi dengan melaungkan penipu semasa giliran Syed Saddiq berucap.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga membuat bising menggunakan motosikal di jalan berhadapan kawasan ceramah sebelum beredar.

Meskipun diganggu, ceramah itu diteruskan tanpa sebarang insiden tidak diingin selepas situasi dapat dikawal oleh polis dan sukarelawan program yang bertugas di lapangan.

Dalam ucapannya Syed Saddiq mendakwa provokasi itu sengaja dicetuskan UMNO.

“Kamu ingat kami takut. Kami lawan kamu. Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak bela orang Muar dan bukannya nak biar mereka (rakyat Muar) susah dan sengsara.

“Tak apa biarkan, biarkan. Ini biasalah taktik UMNO, Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq sempat menasihati sekumpulan ‘mat motor’ yang mengganggu ceramahnya supaya jangan mudah menggadaikan maruah sehingga sanggup bergelar pencacai.

Katanya, golongan tersebut sepatutnya bertanggungjawab mengangkat martabat bangsa dan negara tercinta, bukannya mencetuskan provokasi murahan.

image is not available
Syed Saddiq menyampaikan ceramah di Muar malam tadi. - Tangkapan layar dari video di twitter Nrlizzhs

“Kepada anak-anak muda di luar sana, jangan jadi pencacai. Ini negara kita, bela masa depan ayah, pak cik, mak cik kamu.

“Sampai bila kita nak dibeli? Sampai bila kita nak jual maruah kita? Ini negara kita. Ini Muar!," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif menafikan dakwaan bahawa provokasi itu dicetuskan atas arahannya.

Malah katanya, beliau menentang sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk itu.

“Ramai tanya saya betul ke tak Pemuda UMNO Muar buat, saya beritahu kat sini yang saya berani bersumpah tiada arahan dari saya selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar untuk buat perkara terkutuk ini.

“Saya menentang sekeras-kerasnya. Kami tiada masa untuk ini. Pentas politik harus dirai dengan terbuka. Kita jadikan manusia yang bermaruah. Kita nak lawan, lawan dengan ideologi yang betul. Kita bawa negara ke arah lebih baik,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Ujarnya lagi, tidak kira dibayar atau tidak, perbuatan ini satu budaya yang tidak sihat dalam politik di negara ini. – Getaran, 17 Oktober 2022