SHAH ALAM – Sektor pertanian kini bukan lagi dilihat sebagai pekerjaan tradisional, sebaliknya muncul sebagai industri moden berteraskan teknologi yang membuka peluang besar kepada golongan muda.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dunia pertanian sudah berubah dengan penggunaan teknologi, dron, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi moden.
"Bang Mat percaya masa depan negara bukan hanya dibina di pejabat dan bandar besar tetapi juga di sawah, kebun, ladang dan teknologi pertanian moden.
"Anak muda perlu berani melihat pertanian sebagai bidang masa depan yang mampu memberi pendapatan baik, peluang perniagaan dan jaminan makanan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, berikutan itu galakan daripada ibu bapa dan guru-guru amat penting.
Menurutnya, apabila anak-anak diberi keyakinan, sokongan dan pendedahan sejak di bangku sekolah, mereka akan lebih yakin untuk menceburi bidang tersebut.
"Pertanian hari ini bukan kerja lama yang ketinggalan zaman. Kalau bukan generasi muda yang sambung perjuangan ini, siapa lagi yang akan pastikan negara kita terus cukup makanan pada masa depan?
"Bang Mat mahu melihat lebih ramai anak muda menjadi agropreneur berjaya, bukan sekadar mencari kerja tetapi menjadi pencipta peluang pekerjaan.

.jpg)




