
INDONESIA – Seorang wanita menjadi perhatian di Threads selepas berkongsi keadaan matanya yang menjadi merah dipercayai selepas terkena abu daripada letusan Gunung Anak Krakatau.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menganggap kejadian yang dialaminya sebagai sesuatu yang dibuat-buat.
Menurut perkongsian dan perbualan dalam ruangan komen, keadaan mata itu dipercayai berlaku selepas matanya dimasuki habuk atau abu sebelum digosok.
Jangan terus gosok mata
Beberapa pengguna Threads turut berkongsi pengalaman serta nasihat supaya mata yang dimasuki habuk tidak terus digosok.
Sebaliknya, mata disarankan dibilas dengan air bersih kerana menggosoknya boleh menyebabkan iritasi atau kecederaan menjadi lebih teruk.
Ada juga yang berkongsi gambar keadaan mata masing-masing selepas terdedah kepada abu Gunung Anak Krakatau, dengan sebahagian mereka mengalami kemerahan yang jelas pada bahagian putih mata.
Nasihat pakai pelitup muka dan cermin mata
Dalam masa sama, pengguna media sosial turut mengingatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka dan cermin mata pelindung ketika berada di luar, terutama di kawasan yang terdedah kepada abu daripada letusan Gunung Anak Krakatau.
Situasi di Indonesia ketika ini turut mendapat perhatian selepas aktiviti Gunung Anak Krakatau menyebabkan abu gunung berapi merebak ke beberapa kawasan. Walaupun episod letusan berterusan selama kira-kira 25 jam telah berakhir, aktiviti gunung berapi itu masih dipantau dan status berjaga-jaga masih dikekalkan.
Kesan sebaran abu turut menjejaskan kehidupan harian penduduk dan operasi penerbangan di beberapa kawasan di Indonesia, dengan pihak berkuasa terus memantau keadaan serta menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga. – The Malaysian Update
The post Mata Jadi Merah Selepas Terkena Abu Gunung Berapi Anak Krakatau, Wanita Ini Kongsi Pengalaman appeared first on The Malaysian Update.

