MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China

Business & Finance
30 Oct 2026 • 9:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China
Menteri Kaunselor (MATRADE) yang juga Pesuruhjaya Perdagangan di Kedutaan Malaysia di Beijing, Niqman Rafaee Mohd Sahar (tengah), menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Eksekutif VFive Media Ads, TS Amir Junaidi (dua dari kanan), di Pejabat Matrade di Beijing, China.
Image from: MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China
MATRADE terus membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran China melalui promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembangunan hubungan perdagangan serta khidmat nasihat mengenai keperluan dan pematuhan eksport.

BEIJING – Syarikat Malaysia digalakkan meneroka peluang kerjasama dalam sektor teknologi bernilai tinggi di China, khususnya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau, selaras dengan keutamaan pembangunan negara itu bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menteri Kaunselor (Perdagangan) Kedutaan Besar Malaysia di Beijing merangkap Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Niqman Rafaee M. Sahar berkata, peluang berkenaan merangkumi penyumberan strategik, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi bagi menyokong peningkatan keupayaan industri Malaysia.

Beliau berkata, Rancangan Lima Tahun Ke-15 China membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

“Keutamaan itu turut meliputi penggunaan teknologi dalam sektor industri dan peningkatan produktiviti melalui pendigitalan, di samping peralihan kepada pembangunan hijau,” katanya.

Niqman berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd, Ts. Amir Junaidi Amerrudin, di pejabat MATRADE di Beijing, pafa Khamis.

Menurut beliau, MATRADE terus membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran China melalui promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembangunan hubungan perdagangan serta khidmat nasihat mengenai keperluan dan pematuhan eksport.

“Sokongan ini membolehkan syarikat mengenal pasti rakan niaga berpotensi, memahami kehendak pasaran serta memperluas akses kepada pembeli dan rangkaian pengedaran di negara berkenaan.

“Kita turut menggalakkan syarikat Malaysia meneroka bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di China, selain pasaran utama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.

“Langkah ini berpotensi mempelbagaikan pasaran eksport serta membuka peluang perniagaan dalam sektor industri dan teknologi yang sedang berkembang,” katanya.

**media[3693717]**

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group, Datuk Syafiq Abdullah berkata, syarikat berkenaan sedang meneroka kerjasama dengan pemain teknologi China dalam bidang perubatan digital, sistem AI, jentera pertanian pintar dan teknologi pembinaan moden.

Katanya, penerokaan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian teknologi yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan industri di Malaysia, dengan mengambil kira kos pelaksanaan serta kesesuaian operasi tempatan.

“Dalam sektor pertanian, penggunaan jentera pintar dan teknologi berasaskan AI berpotensi meningkatkan kecekapan operasi melalui automasi, pemantauan tanaman berasaskan data serta penggunaan input pertanian secara lebih tepat.

“Kita juga sedang mengenal pasti peluang perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan penyesuaian penyelesaian teknologi bagi menyokong pembangunan industri di Malaysia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved