Matrade, ICBC Malaysia buka laluan perusahan masuk pasaran China

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Matrade, ICBC Malaysia buka laluan perusahan masuk pasaran China

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Berhad (ICBC Malaysia) memeterai kerjasama strategik bagi mempercepatkan perdagangan dua hala ke China.

Perjanjian tersebut juga membuka laluan pertumbuhan baharu kepada perusahaan Malaysia yang mahu mengembangkan perniagaan ke negara tersebut

Pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) ke-5 itu mewujudkan jaringan kewangan dan promosi perdagangan yang kukuh antara kedua-dua organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pengembangan ke pasaran utama seperti China memerlukan akses komersial serta infrastruktur kewangan yang kukuh.

“Kerjasama dengan ICBC Malaysia selaras dengan strategi Matrade untuk membantu perusahaan Malaysia mengharungi perkembangan antarabangsa dengan lebih selamat, membina hubungan perdagangan yang berdaya tahan serta mewujudkan tapak kukuh dalam pasaran serantau,” katanya dalam kenyataan.

Melalui kerjasama strategik itu, Matrade dan ICBC Malaysia akan menggabungkan jaringan institusi serta keupayaan kewangan masing-masing bagi memperluas eksport Malaysia ke hab strategik di seluruh China.

Kerjasama berkenaan akan memacu penglibatan perdagangan bersama, memudah cara peluang perniagaan rentas sempadan serta memanfaatkan platform jaringan global untuk menghubungkan secara langsung pembekal dan penyedia perkhidmatan Malaysia dengan rakan kongsi China yang berwibawa.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ICBC Malaysia, Geng Hao berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan MATRADE bagi memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan.

“Melalui MoU ini, ICBC Malaysia komited menyediakan penyelesaian kewangan yang kukuh, akses kepada penyelesaian kewangan RMB serta memanfaatkan jaringan domestik dan antarabangsa ICBC yang luas di China untuk membantu perniagaan Malaysia memasuki pasaran pertumbuhan dan merebut bahagian pasaran bernilai tinggi.

“Pada masa sama, ia menyokong perusahaan Malaysia dalam menghubungkan mereka dengan rakan perniagaan China yang berwibawa,” katanya.
ICBC Malaysia akan menyediakan penyelesaian kewangan bagi menyokong inisiatif Matrade dalam meningkatkan aktiviti perdagangan Malaysia-China, termasuk inisiatif utama Malaysia-China Gateway Initiative (MCGi).

ICBC Malaysia turut menggalakkan penggunaan RMB sebagai mata wang penyelesaian perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China.

Selain itu, ia juga menyediakan penyelesaian kewangan komprehensif termasuk penyelesaian perdagangan dalam RMB, pembiayaan perdagangan serta penyelesaian lindung nilai pertukaran asing bagi memudah cara aktiviti perdagangan dan pelaburan.

Kedua-dua institusi itu akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif bersama bagi memperluas akses pasaran, melancarkan proses pemudahcaraan perdagangan serta memacu hasil komersial yang berdaya tahan untuk perusahaan Malaysia. – UTUSAN

The post Matrade, ICBC Malaysia buka laluan perusahan masuk pasaran China appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved