MATTA belum terima tarikh kemasukan pelancong China

1 Jan 2023 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MATTA belum terima maklumat secara rasmi mengenai tarikh jangkaan kedatangan pelancong dari China ke negara ini. Gambar kecil: Mohd Akil

SHAH ALAM - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) belum menerima maklumat secara rasmi mengenai tarikh jangkaan kedatangan pelancong dari China ke negara ini.

Timbalan Presidennya, Mohd Akil Mohd Yusof berkata, bagaimanapun katanya, pelancong dari China dijangka akan segera melancong ke luar negara termasuk Malaysia sebaik pintu sempadan negara mereka dibuka.

“Semua sedia maklum bahawa rakyat China suka melancong dan kita yakin, mereka akan keluar sebaik sahaja pintu sempadan dibuka setelah lebih dua tahun terkurung akibat Covid-19.

“Malah, MATTA juga telah sedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong dari luar termasuk China ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau mengulas jangkaan pelancong China melancong ke Malaysia susulan pembukaan semula sempadannya pada 8 Januari ini.

Ditanya mengenai kebimbangan ramai berlakunya gelombang baharu jangkitan Covid-19 selepas China mengumumkan negaranya akan menamatkan syarat menjalani kuarantin, Mohd Akil berkata, pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak tersebut.

“Sudah pasti MATTA memandang berat isu ini tetapi apa pun kita patuh segala arahan KKM.

“Kalau syarat memerlukan pelancong menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), kita akan patuhi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved