MATTA Fair April 2025 catat jualan lebih RM54 Juta

LocalTravel
21 May 2025 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh (tujuh dari kiri) bergambar bersama wakil penaja dan pemenang di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

image is not available
Sheikh Awadh

KUALA LUMPUR - Pembelian pakej pelancongan sempena MATTA Fair April 2025 berjaya mencatatkan jualan melebihi RM54 juta, sekali gus membuktikan keyakinan rakyat Malaysia untuk kembali melancong semakin meningkat.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, jumlah penyertaan pertandingan kali ini mencecah 6,435 peserta, satu peningkatan ketara berbanding penganjuran edisi September 2024.

**media[3134946]**

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 102,444 tiket domestik terjual dengan nilai hampir RM10 juta, manakala 437,543 tiket antarabangsa pula menyumbang hampir RM44 juta dalam bentuk jualan.

“Ini membuktikan bahawa industri pelancongan negara sedang kembali pulih dan rakyat Malaysia sudah bersedia untuk kembali mengembara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah MATTA Fair April 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung Kehormat MATTA, Phua Tai Neng; Ketua Wilayah Tengah Malaysia Aviation Group (MAG), Nik Nazlene Mohd Nawi serta barisan penaja dan rakan kerjasama.

Jelasnya, industri pelancongan negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila pelancongan domestik mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, trend tersebut menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk melancong dalam negara berbanding ke destinasi antarabangsa.

Menurutnya, lonjakan itu turut disumbangkan oleh kempen promosi agresif serta sokongan berterusan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

Mengulas lanjut, Sheikh Awadh berkata, MATTA Fair April 2025 turut memperkenalkan dua lagi pertandingan yang berjaya menceriakan suasana pameran kali ini.

Pertandingan tersebut ialah ‘Ride & Reels’ yang menggalakkan pengunjung merakam vlog sepanjang menggunakan perkhidmatan ulang-alik percuma MATTA Fair dan menerima sebanyak 1,405 penyertaan kreatif.

“Cabaran ‘PicklePose’ juga menarik perhatian dengan 65 penyertaan dan menjadi platform memperkenalkan acara MATTA Pickleball Grand Slam yang akan berlangsung pada 9 hingga 19 Oktober ini.

“Ia adalah langkah pertama kami ke arah mempromosikan pelancongan sukan secara lebih meluas,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) selaku Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama serta semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran edisi ke-56 itu.

“Kami akan terus membawa semangat ini dalam edisi akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 7 September 2025,” ujarnya.