Maut ketika terjun selamatkan diri

24 Oct 2022 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lori yang dipandu terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

GUA MUSANG - Seorang pemandu lori maut selepas terjun ketika cuba menyelamatkan diri dari kenderaan berat dipandunya yang terbabas di Kilometer (KM) 56 Jalan Gua Musang-Lojing di sini pada Ahad.

Kejadian berlaku pada jam 9.15 malam mengorbankan Badrul Hisham Kamaruddin, 24.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, lori yang membawa muatan buah kelapa sawit dipandu oleh mangsa hilang kawalan semasa menuruni bukit di jalan selekoh.

“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari lori tersebut namun kepala mangsa terhentak pada permukaan jalan dan mengakibatkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Beliau berkata, lori itu terus terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan jenazah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.