
RAWANG – Suasana pilu menyelubungi Masjid Bandar Tasik Puteri, di sini apabila ahli keluarga serta sahabat dan kenalan terdekat berkumpul bagi menyambut jenazah rakyat Malaysia, Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam dalam kejadian di Korea Selatan, Ahad lalu.
Jenazah Allahyarham tiba di sini kira-kira pukul 8.52 malam selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Korea Selatan sekitar pukul 5 petang tadi.
Lebih 200 orang memenuhi pekarangan Masjid Bandar Tasik Puteri bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang mesra dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain.
Sementara menunggu solat jenazah, ahli keluarga bersama jemaah masjid mengadakan bacaan tahlil dan doa buat Allahyarham.
Jenazah Allahyarham dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tasik Puteri selepas solat isyak, malam ini. – KOSMO! ONLINE
The post Maut Korea: Jenazah Ahmad Shah tiba di Masjid Bandar Tasik Puteri appeared first on Kosmo Digital.






