Maxis telah dilantik sebagai penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih bagi keseluruhan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Mereka akan menawarkan infrastruktur rangkaian 4G dan 5G tanpa titik buta apabila ECRL memulakan operasi pada Januari 2027 mengikut jadual asal.
Pelantikan dibuat oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pagi tadi. Rangkaian Teras Multi-Operator yang akan diperkenalkan dengan ia kemudiannya dikongsi dengan penyedia lain seperti CelcomDigi, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL. Dengan ini perkhidmatan selular dan internet dapat dinikmati penumpang ECRL tanpa gangguan tanpa mengira syarikat telekomunikasi yang digunakan.

Dalam perkembangan yang sama, projek ECRL kini sudahpun siap 91.7% dan ia memasuki fasa persediaan operasi. Pembinaan ECRL dimulakan pada tahun 2017 sebelum dibatalkan pada tahun 2019. Ia kemudian dimulakan kembali dengan penjajaran semula laluan bagi mengurangkan kos.
Apabila siap kelak ia akan menggunakan 11 set kereta api elektrik (EMU) dari jenis CJ6 keluaran China yang terdiri daripada 6 gerabak yang boleh membawa 440 penumpang. Penumpang boleh menaiki ECRL bermula di Westport dan berakhir di Kota Bharu.
Ini sekaligus akan memendekkan masa perjalanan yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor ke sekitar 4 jam sahaja berbanding 6.5 jam menggunakan kereta.
