
KUALA LUMPUR – Di sebalik kritikan terhadap kostum duyung yang dipakainya dalam filem Duyung: Legenda Aurora, aktres Maya Karin menekankan bahawa setiap pilihan kostum adalah hasil usaha teliti untuk memastikan keselesaan pelakon sepanjang penggambaran, sambil mengekalkan keindahan visual filem.
Maya atau nama penuhnya Maya Karin Roelcke berkata, pemilihan kostum itu bukan keputusan bersendirian, sebaliknya dibuat melalui perbincangan bersama penerbit, pengarah dan pelakon lain.
“Untuk filem Duyung yang pertama, kostum yang dipakai sangat berat dan sukar digayakan. Kali ini, pihak produksi cuba memudahkan bukan sahaja pelakon tetapi juga kru di set. Warna kostum juga dipilih untuk menyerlahkan keindahan lautan, seiring dengan ikan, batu karang dan elemen semula jadi lain,” katanya kepada MYBERITA, malam tadi.
Maya turut menekankan kelainan filem terbaru ini, di mana duyung bukan sahaja berenang di lautan tetapi turut boleh berjalan di bumi, memberikan jalan cerita yang lebih segar dan pelbagai konflik menarik.
“Semoga penonton menikmati pengalaman menonton yang berbeza dan menyeronokkan,” tambahnya.
Terdahulu, trailer filem ini menerima kritikan segelintir netizen yang mendakwa kostum duyung kelihatan murah dan kurang realistik berbanding filem Duyung terdahulu.
Duyung: Legenda Aurora dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember 2025 dan turut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.
