Mayat Bagasi Biru: Anggota Badan Masih Sempurna, Hanya Patah Hidung 

LocalPolitics
11 Dec 2024 • 7:51 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mayat Bagasi Biru: Anggota Badan Masih Sempurna, Hanya Patah Hidung

Sebelum ini, media tempatan melaporkan mayat seorang lelaki telah ditemukan dalam sebuah bagasi berwarna biru gelap di Taman CP6, Cheras Perdana, pada Selasa.

Menurut Astro Awani, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa, pihak polis mendapati anggota badan mangsa berada dalam keadaan sempurna.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa yang dijumpai dengan lengkap berpakaian itu hanya mengalami patah hidung.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang mendapati tiada kecederaan lain selain patah di bahagian hidung.

“Punca kematian diputuskan sebagai ‘pending laboratory investigation’ iaitu menunggu laporan lengkap makmal,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Astro Awani.

Mangsa dipercayai merupakan warganegara asing

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa mangsa berkemungkinan berusia 20-an dan memiliki berat 45 kilogram berdasarkan fizikalnya.

Tambah Naazron, mangsa yang ditemukan tanpa pengenalan diri itu dipercayai merupakan warganegara asing kerana tidak mempunyai kesan suntikan BCG pada tubuh.

Jelasnya, mangsa hanya memakai baju dan seluar pendek hijau bermotif bunga serta cincin perak di jari kanannya sewaktu ditemui.

Astro Awani berkata, pihak polis ada menerima panggilan kira-kira jam 11.45 pagi berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk daripada orang awam, semalam.

Orang ramai diminta tampil ke balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat

Hasil pemeriksaan mendapati mayat seorang lelaki telah disumbat dalam bagasi, kemudian mayat terbabit telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis terdekat dengan segera.

Sumber: Astro Awani