
TANJUNG MALIM – Seorang bekas tentera darat tidak dapat melupakan pengalaman melihat mayat bergelimpang di tepi jalan semasa mengikuti Pasukan Batalion Malaysia 1 (Malbatt 1) di Somalia pada 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994.
Menurut Ismail Adam, 56, konflik yang melibatkan militia Somalia khususnya di Mogadishu itu menyebabkan krisis kemanusiaan yang menyayat hati.
“Sepanjang berada di sana (Somalia), boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pertempuran melibatkan pasukan tentera antarabangsa dan militia.
“Bunyi tembakan, meriam serta pelancar roket menjadi ‘mainan’ kami termasuk penduduk. Nyawa di hujung tanduk. Bila-bila masa boleh hilang,” katanya ketika ditemui di Kampung Menderang, Sungkai di sini hari ini.
Ismail berkata, Batalion Ke-19 Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis telah diamanahkan untuk berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Operasi UNOSOM II di Somalia ketika itu.
Dia dengan pangkat terakhir sebagai Lans Koperal dalam RAMD turut memaklumkan semasa konflik tersebut banyak kes kematian disebabkan oleh tembakan penembak curi.
“Penembak curi ini ada merata-rata, di pasar, lorong jalan dan mereka bersembunyi disebalik bangunan sempit yang sukar untuk dijejaki. Kami (tentera pengaman) sentiasa memakai baju kalis peluru sebagai jaminan keselamatan.
“Beza militia dengan orang awam pun sukar untuk kenali kerana mereka berpakaian sama selain bergaul seperti biasa. Tetapi majoriti mempunyai senjata,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail berharap negara Malaysia sentiasa aman dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.
“Pelihara keamanan ini dengan sebaiknya kerana sekiranya negara dalam konflik peperangan, ketegangan kaum serta bergaduh semasa sendiri pasti tiada keamanan yang wujud,” pesannya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Mayat bergelimpangan, nyawa bila-bila masa boleh melayang’ appeared first on Kosmo Online.
