Mayat budak dalam belukar: Bedah siasat sahkan mangsa mati dijerut pengikat kabel

LocalPolitics
29 Jul 2025 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Dzaffir (Gambar kecil: M Tishant)

image is not available
Jasad M Tishant dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada Selasa.

REMBAU - Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan tertanam di kawasan belukar di Rompin, di sini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tekanan di leher akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, proses bedah siasat telah dimulakan pada jam 12 tengah hari di Unit Forensik Hospital Rembau, sebelum mayat dibawa keluar sekitar jam 4.26 petang.

“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan tekanan di leher. Ia boleh menyebabkan kematian dan dalam kes ini dipercayai dilakukan menggunakan pengikat kabel (cable tight),” katanya pada Selasa.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

“Setakat ini, suspek tidak memberikan respons yang positif. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

**media[3218902]**

Terdahulu, kanak-kanak malang yang dikenali sebagai M Tishant dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemukan tertanam di belukar dalam daerah Rompin pada Isnin.

Seorang lelaki berusia 36 tahun yang merupakan bapa kandung mangsa telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta semasa dia keluar membeli makanan.