
LAHAD DATU: Mayat seorang budak lelaki dipercayai dibunuh ditemui di kawasan semak di Kampung Panji, di sini Sabtu lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata budak Pala’u (gipsi laut) itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan luka di kepala, kedua-dua tangan serta kaki kiri.
“Ibu mangsa berusia 20-an memaklumkan mangsa yang berusia tiga tahun keluar bermain dan tidak pulang menyebabkan dia keluar mencarinya.
“Budak lelaki itu kemudian ditemui kira-kira jam 3 petang Sabtu di dalam semak dan ibunya meminta bantuan penduduk kampung untuk memaklumkan kepada polis,” katanya.
Menurut Azmir, pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tangan kanan budak lelaki itu diikat manakala kepalanya tersepit di celah-celah pokok.
Mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam dan luka tetakan di kedua-dua tangan dan kaki kiri.
“Bertindak atas maklumat, seorang warga asing berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan. Lelaki itu merupakan orang terakhir dilihat bersama mangsa.
“Suspek juga didapati positif penyalahgunaan dadah dan dipercayai tidak siuman. Turut ditahan ialah ibu bapa kanak-kanak itu yang juga warga asing,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
