Mayat Lelaki Alami Masalah Mental Ditemukan Tepi Longkang

4 Oct 2023 • 2:29 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Mayat Lelaki Alami Masalah Mental Ditemukan Tepi Longkang

GOMBAK — Berhampiran susur keluar Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), mayat seorang lelaki ditemukan di tepi longkang pada semalam, lapor Sinar Harian.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir, pada jam 4.31 petang pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa, 63, merupakan lelaki warga tempatan dan mempunyai masalah mental.

“Proses pengecaman mayat telah dilakukan oleh anak kandung mangsa di lokasi kejadian.

“Anak si mati juga telah mengesahkan ayahnya mempunyai masalah mental.

“Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang kesan kecederaan,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noor Ariffin, mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang bagi proses bedah siasat dan kes tersebut dikategorikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan info kepada Pegawai Inspektor Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Mayat Lelaki Tertiarap Tepi Longkang

Sebelum ini di Negeri Sembilan, berlaku kejadian hampir serupa melibatkan mayat seorang lelaki yang ditemukan tertiarap di longkang pada 15 Ogos lalu, lapor Bernama.

Difahamkan, mayat mangsa itu ditemukan di tepi Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata mayat lelaki itu berusia 27 tahun itu ditemukan oleh orang awam bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K.

“Balai polis Nilai menerima laporan kira-kira 2.13 petang daripada orang awam, semakan lanjut mendapati terdapat dua laporan polis diterima pada Ahad berkaitan orang hilang oleh isteri si mati dan satu lagi laporan oleh pemilik motosikal yang merupakan majikan kepada si mati,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada sebarang penemuan berkaitan unsur-unsur jenayah.

Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.