
IPOH – Mayat seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui berlumuran darah di lorong berhampiran Jalan Horley, Kampung Jawa, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa ditemui seorang pekerja hotel kira-kira jam 6 pagi dengan kesan kecederaan parah di kepala dan belakang badan, selain memakai rambut palsu perang.
Mangsa Dikejar Lori
Menurut beliau, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dikejar sebuah lori bonded putih sekitar jam 4.24 pagi sebelum berlaku pergelutan dengan suspek.
“Mangsa kemudian terjatuh, digilis, dan ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Polis Kenal Pasti Suspek
Tambahnya, polis sudah mengenal pasti pemilik serta pemandu lori tersebut dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan serius di kepala dan dada akibat pelanggaran jalan raya.
Siasatan Di Bawah Seksyen 302
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mahani Mohammed di talian 019-2618221 atau mana-mana balai polis berhampiran. – The Malaysian Update
The post Mayat Lelaki Berperwatakan Wanita Maut Ditemui di Lorong Berhampiran Jalan Horley, Polis Kesan Suspek Lori Putih appeared first on The Malaysian Update.


