
Mayat tersebut ditemui oleh orang awam
Mayat Lelaki Disyaki Warga Asing Ditemui Terdampar Di Pantai Jebungan Mukah. Orang awam menemui mayat lelaki dipercayai warga asing di pantai Jebungan di Mukah semalam. Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan ngeri itu kira-kira jam 2.05 petang.
“Kami dimaklumkan mengenai mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di pantai Jebungan, Mukah. Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah kemudiannya ke lokasi kejadian.

“Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan berseluar pendek berwarna kelabu dan memakai ‘inner’ di lengannya, serta sarung tangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Rizal berkata, pemeriksaan terhadap mayat dan kawasan sekitar mayat tidak menemui sebarang petunjuk identiti si mati berikutan tahap reput.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Juga tiada kamera televisyen litar tertutup atau saksi di tempat kejadian, katanya.
Polis kemudian membawa mayat ke rumah mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
“Si mati dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lima hingga tujuh hari,” tambah Muhamad Rizal.
Ketua Polis Tatau Sgt Zaidi Selamat ketika dihubungi mengesahkan gambar mayat itu sepadan dengan kes orang hilang bertarikh 25 Feb.
Beliau berkata seorang lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun, yang bekerja sebagai anak kapal, dilaporkan hilang di perairan muara Kuala Tatau.
Bagaimanapun, katanya kes itu masih dalam siasatan.
