Mayat lelaki warga emas ditemukan dalam longkang

7 Jun 2026 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat lelaki warga emas ditemukan dalam longkang
Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia terapung dalam longkang dan patah pergelangan kaki kiri di Kampung Kolam, Jalan Merbau Kudung semalam. Gambar hiasan

KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia terapung dalam longkang dan patah pergelangan kaki kiri di Kampung Kolam, Jalan Merbau Kudung dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki tempatan berusia 64 tahun itu daripada seorang lelaki yang mahu memancing di kawasan berhampiran.

"Siasatan mendapati mangsa kali terakhir dilihat oleh saksi kira-kira dua hari sebelum kejadian.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas. Tiada sebarang kecederaan yang mempunyai unsur jenayah pada badan mangsa manakala kecederaan patah pada pergelangan kaki kiri dipercayai berpunca daripada terjatuh ke dalam longkang itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat SM Jefri Hussain melalui talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama