
KLANG – Pencarian selama 15 hari terhadap pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank berakhir selepas mayat mangsa ditemukan di perairan Kuala Kurau, Perak, petang semalam.
Mayat Raja Mohd. Rozi Raja Mohamod, 49, ditemukan terapung oleh nelayan kira-kira pukul 5.25 petang pada jarak kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Muara Kuala Kurau.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa ditemukan lengkap berpakaian dengan memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng.
Katanya, Bot Maritim BENTENG 03 digerakkan ke lokasi selepas Zon Maritim Kuala Kurau mendapat maklumat daripada nelayan.
Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau kira-kira pukul 7.30 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Mayat itu seterusnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi.
“Identiti mangsa sebagai Raja Mohd. Rozi disahkan isterinya menerusi pakaian terakhir dipakai mangsa semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, penemuan mangsa terakhir ini melengkapkan usaha pencarian terhadap kesemua tujuh mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tujuh individu dilaporkan hilang dalam tragedi memburu ikan cencaru di perairan One Fathom Bank dalam kejadian pada 14 September lalu.
Bot dinaiki mereka dipercayai karam selepas dilanggar kapal sehingga menyebabkan tercampak ke laut.
Empat mangsa berjaya diselamatkan selepas 36 jam bertarung di laut membabitkan Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua lagi didapati terkorban iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd. Shahril Abd Rahman, 43. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat pemancing terakhir ditemukan di Kuala Kurau appeared first on Kosmo Online.






