
JAKARTA – Selepas sembilan hari operasi mencari dilancarkan, pembaca berita TVRI Papua Barat, Yanto Idorway atau Suryanto Idorway, ditemukan meninggal dunia di Sungai Memti, Kabupaten Pegunungan Arfak, wilayah Papua Barat kelmarin, lapor laman berita Jawa Pos.
Yanto dilaporkan hanyut ketika beriadah bersama dua rakan di kawasan Air Terjun Memti pada Sabtu lalu.
Semasa cuba menyeberangi sungai, dia tergelincir dan dihanyutkan arus deras.
Pasukan pencari dan penyelamat gabungan yang terdiri daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), serta penduduk tempatan akhirnya menemui mangsa kira-kira pukul 11.05 pagi (waktu tempatan).
Mangsa ditemui tersepit di celah-celah batu sungai, kira-kira 10 meter dari lokasi awal beliau dipercayai terjatuh.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Manokwari untuk tindakan lanjut. – AGENSI
The post Mayat pembaca berita ditemukan selepas 9 hari hanyut appeared first on Kosmo Digital.
