KOTA BELUD - Seorang lagi mangsa bot karam di perairan Tamau Batu Gadung, pada Ahad lalu akhirnya ditemukan mayatnya dalam keadaan terapung di perairan Bira-Biraan dekat sini.
Mayat Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemukan pada jam 2.45 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) iaitu kira-kira empat kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, operasi SAR itu telah memasuki hari ketiga bagi mencari seorang lagi mangsa.
"Operasi bermula jam 8.30 pagi dengan pembahagian kepada tiga sektor dan pencarian dijalankan di kawasan kiri dan kanan pesisir laut secara berjalan kaki bagi sektor satu dan dua.
"Bagi sektor tiga, oerasi dijalankan di kawasan laut menggunakan bot dan pada jam 2.45 petang, pasukan tersebut berjaya menemui mangsa terapung di perairan Bira-Biraan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukannya bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak membawa mangsa tersebut ke pos kawalan.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan sebuah bot yang dinaiki lapan individu untuk memancing telah karam dan menyebabkan seorang remaja maut manakala seorang lagi hilang.



