Mayat wanita, bayi lelaki ditemukan di tepi jalan

7 Jan 2025 • 11:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat seorang wanita ditemukan berpelukan bersama mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di tepi jalan.

image is not available
Polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat kejadian tersebut agar tampil memberikan keterangan.

KULAI - [DIKEMAS KINI] Mayat seorang wanita ditemukan berpelukan bersama mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam pada jam 8.15 pagi.

"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Kulai dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah dihantar ke lokasi dan menemukan seorang wanita terbaring di tepi jalan bersama-sama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong.

"Bagaimanapun, pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan kedua-duanya sudah meninggal dunia.

"Tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada kedua-dua mayat, namun turut ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat ditemukan," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati wanita berkenaan merupakan warga asing dan kedua-dua mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 10 tahun dan juga dikenakan denda.

Polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat kejadian tersebut agar tampil memberikan keterangan di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor R Arun di talian 013-3332385.