
KUALA LUMPUR - Beberapa penduduk Kampung Batu 4 Pedas, Negeri Sembilan tampil mendedahkan interaksi terakhir mereka dengan suspek utama kes penemuan mayat seorang wanita, yang ditemui tertanam dalam sebuah beg berhampiran sebuah rumah pada 12 Disember lalu.
Menurut mereka, lelaki berusia 51 tahun yang dikenali sebagai ‘Adik’ itu dilihat berada di sekitar kampung beberapa hari sebelum kejadian, tanpa menunjukkan sebarang kelakuan luar biasa.
Seorang penduduk, Rahim, 63, berkata suspek datang ke rumahnya yang berhampiran lokasi kejadian pada 11 Disember dan bersalaman seperti biasa.
“Saya ketika itu sedang merapikan pokok di halaman rumah. Dia datang, berjabat tangan dan kami bertanya khabar kerana sudah lama tidak bertemu,” katanya.
Menurut Rahim, suspek memberitahu bahawa dia mahu kembali ke rumah ibunya untuk mengemas kerana rumah tersebut telah lama tidak berpenghuni.
“Tiada sebarang kelakuan mencurigakan. Dia juga sempat berbual tentang keluarganya, termasuk memberitahu bahawa dia pernah bercerai dan kini berkahwin dengan seorang wanita dari Sarawak,” katanya lagi.
Penduduk itu turut mengakui amat terkejut apabila dimaklumkan tentang penemuan mayat dan penahanan suspek.
Beberapa hari sebelum kejadian, suspek turut dilihat minum di sebuah kafe berhampiran kolam pancing dekat rumahnya serta bertanya mengenai anggaran kos untuk membina pagar di rumah pusaka tersebut.
Selain itu, beberapa saksi mendakwa melihat kereta Proton Saga FLX milik suspek berhampiran tempat kejadian sekitar jam 8 pagi pada 12 Disember, namun suspek tidak kelihatan ketika itu.
Rahim berkata mayat berkenaan ditemui di kawasan rumah arwah kakak suspek, yang terletak bersebelahan rumah ibunya.
Siasatan pihak polis mendapati mangsa mempunyai kaitan dengan laporan orang hilang, yang dibuat pada 15 Disember di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan siasatan awal mendapati mayat itu telah dimasukkan ke dalam beg sebelum ditanam.
Sebelum ini, pihak polis turut meminta bantuan orang ramai mengesan seorang usahawan wanita berusia 53 tahun, Suri Narudin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember.
Walaupun terdapat laporan mendakwa suspek ialah suami mangsa, keluarga mangsa menafikan perkara itu dan memaklumkan lelaki berkenaan hanya merupakan pasangan beliau.
Kes ini terus menjadi tumpuan dengan pihak polis giat melakukan siasatan, manakala penduduk kampung masih terkejut dengan kejadian tidak diduga itu. - Getaran, 22 Disember 2025

